Khamis, 21 Julai 2011

Cucur Durian

Cucur Durian

Bahan-bahan : 

2 cawan tepung gandum
5 ulas durian
Air suam
Gula
Garam
2 sudu makan kelapa parut
Minyak masak (untuk menggoreng)

Cara Membuatnya : 

Kacau isi durian bersama air suam. Masukkan garam dan gula. Setelah hancur, masukkan tepung gandum dan kelapa parut sedikit demi sedikit.

Kacau dengan lembut supaya cucur tidak menjadi keras. Panaskan minyak di dalam kuali.

Goreng adunan tadi dengan menggunakan sudu satu persatu. Masak hingga warna keemasan dengan api yang sederhana kecil dan angkat.

Sedia untuk dihidang.

Kuih Siput

Kuih Siput


Bahan-bahan :

1 kg tepung gandum
8 sudu besar marjerin (dipanaskan)
4 sudu besar rempah kari daging
2 sudu besar gula
Garam secukup rasa
1 biji telur
Minyak untuk menggoreng


Cara Membuatnya : 

Di dalam mangkuk, masukkan serbuk kari dan telur. Kacau sebati dan ketepikan.

Di dalam bekas yang lain, masukkan tepung gandum, gula dan garam. Kemudian, masukkan marjerin yang telah dipanaskan. Gaul sekata.

Seterusnya, masukkan pula serbuk kari dan telur tadi. Gaul lagi.

Masukkan air secukupnya dan uli hingga menjadi doh yang baik. Bolehlah dibentuk dengan mengunakan acuan kuih siput yang sesuai. Goreng hingga garing.

Kuih Ketayap

Kuih Ketayap

Bahan Untuk Kulit : 

2 cawan tepung gandum
2 cawan air + jus pandan
½ sudu teh garam

Bahan Untuk Inti : 

1 biji kelapa parut
3 sudu gula merah
1 sudu gula putih
1 sudu tepung ubi

Cara Membuat Kulit : 

Ayak tepung gandum, masukkan garam dan air + jus pandan. Kacau perlahan-lahan hingga sebati dan tidak berketul.

Panaskan kuali, masukkan sedikit minyak dan diratakan ke seluruh kuali. Seterusnya, masukkan satu senduk adunan dan diratakan seluruh kuali. Buat senipis yang boleh.

Apabila telah masak, bolehlah diangkat.

Cara Membuat Inti : 

Gula merah dan gula putih dicairkan di atas api bersama sedikit air. Tapis campuran tersebut dan digaul bersama kelapa parut.

Kemudian, tepung ubi kayu dibancuh bersama sedikit air dan dimasukkan ke dalam kelapa parut.

Masak hingga kelapa kering. Hendaklah sentiasa dikacau agar tidak hangit.

Kemudian, inti ini bolehlah dibalut bersama kulit tepung tadi.

Kuih Telur Katak atau Kuih Sagu

Kuih Telur Katak atau Kuih Sagu

Bahan-bahan : 

1 cawan sagu dibasuh dan ditoskan airnya
2 cawan air
½ cawan gula
Pewarna merah
Kelapa parut dibuang kulitnya
Sedikit garam
2 helai daun pandan diikat

Cara Membuatnya : 

Masukkan air, gula, daun pandan dan pewarna merah. Masak hingga gula larut dan air mendidih.

Apabila air telah mendidih, masukkan sagu. Kacau hingga sagu masak. Setelah itu, masukkan masakan ke dalam bekas dan dibiarkan sejuk.

Apabila telah sejuk, kelapa parut dicampurkan dengan sedikit garam. Kemudian, potong kuih dan salutkan dengan kelapa parut tadi. Sedia untuk dihidang.

Cucur Udang

Cucur Udang

Bahan Untuk Sos : 

1 piring cili kering (rebus)
2 ulas bawang putih
1 cm halia
2 ulas bawang merah
Garam secukupnya
Gula secukup rasa
3 sudu makan gula merah
Sedikit jus asam jawa
2 cawan kacang tanah (goreng tanpa minyak & kisar separa halus)

Bahan Untuk Cucur :

1 kg tepung gandum
300 gram udang basah (saiz kecil / sederhana)
Daun kucai (potong kecil-kecil)
500 gram taugeh
1 sudu teh baking powder
1 sudu teh garam
½ sudu teh serbuk kunyit
½-1 kg minyak masak (untuk menggoreng) 

Cara Untuk  Membuat Sos : 

Kisar cili kering, bawang merah, bawang putih dan halia. Tumis bahan yang dikisar hingga naik minyak.

Kemudian, masukkan kacang tanah yang telah dikisar, gula merah, gula putih dan garam secukup rasa. Seterusnya, masukkan jus asam jawa dan air.

Biarkan mendidih seketika. Tutup api dan ketepikan.

Cara Untuk Membuat Cucur : 

Campurkan tepung gandum, daun kucai, taugeh, baking powder, serbuk kunyit, garam dan sedikit udang di dalam mangkuk.

Bancuh pekat dengan air yang mencukupi. Biarkan selama 1 jam. Sementara itu, panaskan minyak di dalam kuali.

Kaup adunan dengan senduk separa bulat, letak 1-2 ekor udang basah di atas adunan. Masukkan ke dalam minyak panas satu persatu. Goreng sehingga keemasan. Angkat dan tos. Hidang bersama sos cucur udang.

Sedia untuk dihidangkan.

Bubur Pulut Hitam

Bubur Pulut Hitam
Bahan-bahan : 

500 gram pulut hitam di basuh dan direndam selama beberapa jam
Gula putih secukupnya
Sedikit garam untuk melemakkan
Santan daripada 1 biji kelapa
2 helai daun pandan diikat

Cara Membuatnya : 

Pulut hitam direbus hingga empuk. Masukkan gula secukupnya. Tunggu beberapa minit.

Seterusnya, masukkan santan dan sedikit garam dan daun pandan. Tunggu hingga mendidih.

Kemudian, bolehlah dihidang.
 

Karipap

Karipap Simple

Bahan Untuk Kulit :

500 gram tepung gandum
Sedikit garam 
Air
4-5 sudu minyak @ marjerin (dipanaskan) 


Bahan Untuk Inti : 

Ubi keledek @ ubi kentang (dipotong dadu)
Rempah kari daging (1 bungkus kecil)
2 sudu besar gula
Garam secukup rasa
2 ulas bawang merah (dipotong kecil)
Daun kari
Ikan bilis (ditumbuk)



Cara Membuat Kulit Karipap : 

1. Panaskan minyak @ marjerin dan tutup api. Biarkan ia sejuk suam-suam kuku.

2. Masukkan garam dan minyak ke dalam tepung. Gaulkan. 

3. Masukkan air sedikit demi sedikit sehingga menjadi doh. 



Cara Membuat Inti Karipap : 

1. Tumis bawang dan daun kari hingga naik bau. 

2. Masukkan ubi keledek, ikan bilis, garam, gula dan sedikit air.

3. Tutup kuali dan hendaklah kacau selalu. Tunggu hingga ubi empuk dan kering. 

4. Padamkan api dan bolehlah diangkat. Biarkan ia sejuk.

5. Kemudian bolehlah dicanai membentuk karipap.

Kuih Cara

Kuih Cara

Bahan-bahan : 

3 cawan tepung gandum
2 ½ cawan santan + pandan
1 biji telur
½ sudu teh garam
2 sudu gula
Gula secukupnya
Sedikit minyak

Cara membuatnya : 

Ayak tepung gandum, masukkan telur, garam dan dua sudu gula. Kemudian masukkan santan bercampur pandan sedikit demi sedikit.

Kacau hingga sebati. Pastikan adunan tidak berketul. Jika tidak sebati, tapis adunan menggunakan penapis dan dilenyek hingga pecah.

Guna acuan kuih bahulu, letakkan di atas api dan masukkan sedikit minyak. Seterusnya, masukkan 1 sudu bancuhan tepung tadi dan sedikit gula mengikut citarasa. Tutup dengan tudung periuk dan tunggu hingga masak.

Setelah itu, bolehlah dicungkil untuk mengeluarkan kuihnya. Ulang cara ini sehingga tepung habis.

Kuih Lidah Buaya

Kuih Lidah Buaya

Bahan-bahan : 

800 gram tepung gandum
2 sudu besar gula
½ sudu teh garam
2 sudu besar marjerin dipanaskan sehingga cair
Tepung ubi kayu
Minyak masak
Gula halus secukupnya 

Cara Membuatnya : 

Ayak tepung gandum. Masukkan gula, garam dan marjerin yang dicairkan. Gaulkan. Kemudian masukkan air sedikit demi sedikit. Uli sehingga sebati.

Setelah itu, di dalam bekas yang lain masukkan tepung ubi dan campurkan minyak masak sedikit demi sedikit. Bancuhan adalah agak cair untuk disapukan ke permukaan doh.

Ambil sedikit doh yang siap diuli dan canaikan senipis yang mungkin. Kemudian sapukan dengan bancuhan tepung ubi kayu tadi sehingga rata.

Kemudian, bolehlah dilipat dan dipotong kecil-kecil.

Goreng hingga kekuningan. Kemudian, taburkan dengan gula halus.