Step by Step Cara Membuat Agar-agar Kering

Step by Step Cara Membuat Agar-agar Kering

Agar-agar Kering

Agar-agar kering atau juga dikenali sebagai beleda kering di Kelantan dan Terengganu merupakan sejenis kuih tradisional lama. Rasanya sedap dan enak. Ia merupakan sejenis kuih yang manis, pelbagai warna yang dijemur sehingga kering dan tahan lama.

Agar-agar kering merupakan pada asasnya dibuat daripada agar-agar manis yang telah dikeringkan. Lebih dari satu warna dihasilkan dan daun pandan digunakan bagi menimbulkan bau wangi. Apabila agar-agar yang dimasak telah menjadi keras, agar-agar tersebut akan dipotong pada saiz potongan yang bersesuaian. Saiz potongan tersebut biasanya akan berkurangan selepas dijemur apabila agar-agar tersebut kehilangan air dan berubah menjadi agar-agar kering.

Agar-agar kering yang baik biasanya mempunyai rupa berkaca, disebabkan kandungan gula yang mengeras dikelilingnya. Ia mempunyai rasa yang rangup di bahagian luar dan lembut di dalam. Agar-agar kering biasanya jarang dihasilkan dan hanya dibuat bagi acara istimewa seperti Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidil Adha.


RESIPI AGAR-AGAR KERING

OLEH : SAJIAN HATI



Bahan-bahannya :

1 tahil agar-agar bertali (37.5 gram)
1 kg gula pasir
Air yang disukat
Pewarna yang disukai


Cara Membuatnya :

Langkah pertama, basuh agar-agar bertali sehingga bersih.


Step by Step Cara Membuat Agar-agar Kering

Masukkan agar-agar ini ke dalam jug air. Tujuan memasukkan agar-agar ke dalam jug adalah untuk menyukat kandungan agar-agar dan jumlah air yang perlu dimasukkan.



Tandakan kedudukan agar-agar tersebut di jug. Contohnya jika agar-agar tersebut berada di tengah jug, tandakan kedudukan tersebut. 



Masukkan air sebanyak 2 kali di mana kedudukan agar-agar yang ditanda pada jug tadi.


Setelah itu, tuangkan air tersebut ke dalam periuk yang berisi agar-agar.


Rebus agar-agar bersama daun pandan dan air yang disukat sehingga mendidih dan hancur.


Apabila agar-agar telah hancur semuanya, masukkan gula pasir.


Masak hingga mendidih dan bolehlah tutup api. Keluarkan daun pandan.


Asingkan agar-agar kepada 4 bekas. Setiap bekas diletakkan pewarna yang disukai dan dibiarkan sejuk. Setelah agar-agar keras bolehlah dipotong. Jangan potong terlalu kecil kerana agar-agar akan mengecut selepas kering. Lapikkan agar-agar dengan plastik.


agar-agar yang dijemur

Jemur agar-agar dan sesekali balik-balikkan agar-agar supaya kering sekata.  Untuk menjaga kualiti kebersihan, tutup agar-agar dengan kain nipis agar bebas dari habuk dan kotoran. Jemur selama seminggu sehingga agar-agar tidak melekat dan kering sepenuhnya.

Agar-agar Kering

1 ulasan: