Memaparkan catatan dengan label Cucur. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Cucur. Papar semua catatan

Rabu, 10 Oktober 2012

Masalodeh @ Vadai

Kuih Masalodeh atau Vadai

Bahan-bahan :

250 gram kacang dhal (cuci dan rendam 4 jam atau semalaman)
1 biji bawang besar (potong dadu kecil)
1 camca teh jintan manis
2 tangkai cili kering (gunting kecil-kecil)
1 tangkai daun kari (dilurut dan jika daun terlalu besar, bolehlah dihiris sedikit)
Udang kering (ditumbuk)
Garam secukup rasa
Sedikit tepung gandum


Cara Membuatnya :

1. Toskan kacang dhal tadi, kemudian kisar hingga hancur, kalau masih ada sedikit biji-biji  kacang dhal pun tak mengapa. Kisar tanpa air. Tuang ke dalam bekas.

2. Masukkan jintan manis, cili kering, udang kering, bawang besar dan daun kari. Gaul rata dan tambah garam secukup rasa. Masukkan sedikit tepung jika terlalu lembut. Biar sekejap.

3. Ambil sehelai plastik bersih, sapu dengan sedikit minyak makan, dan ambil anggaran 1 camca besar penuh adunan vadai, bulat-bulat dan leperkan sedikit. Susun atas loyang yang telah dialas plastik dan juga disapu sedikit minyak. Buat hingga siap.

4. Goreng dalam minyak sederhana panas hingga kuning keemasan, angkat dan toskan. Jika suka, boleh juga masukkan beberapa helai daun kari dalam minyak gorengan tadi bagi menambah aroma.

Cucur Kucai


Cucur Kucai

Bahan-bahan :

500 gram tepung gandum
Udang hidup (dimasak separuh masak bersama sedikit garam)
1 biji telur
2 tangkai cili kering (dihiris nipis)
1 ulas bawang besar (dihiris nipis)
Kucai (dipotong)
Gula 
Air garam secukup rasa
Air panas


Cara Membuatnya :

Campurkan tepung gandum bersama telur, kucai, bawang, udang, cili dan juga gula di dalam bekas. Gaulkan.

Siram air panas di atas campuran tepung tersebut, tetapi jangan terlalu banyak. Kacaukan.

Seterusnya, masukkan air garam secukupnya sehingga bancuhannya sesuai untuk membuat cucur.

Panaskan minyak di dalam kuali. Goreng cucur sehingga masak.

Jumaat, 2 Disember 2011

Cucur Kacang Hijau @ Kuih Kasturi

Cucur Kacang Hijau @ Kuih Kasturi

Bahan Untuk Kuih : 

1 cawan kacang hijau (rendam selama 4 hingga 5 jam)
Air secukupnya untuk merebus
½ cawan gula pasir (ikut suka manisnya)
3 sudu makan kelapa parut
3 sudu makan tepung gandum 

Bahan Untuk Kulit /Salut : 

1 cawan tepung gandum
½ cawan tepung beras
1 sudu teh serbuk kunyit
½ sudu teh kapur sirih
Air secukupnya
½ sudu teh garam
Minyak masak secukupnya (menggoreng) 

Cara Membuat Kuih : 

Kacang hijau direbus sehingga kacang hijau tersebut pecah dan empuk serta kering airnya.
Tetapi jangan sampai hangus.

Masukkan kelapa, gula dan tepung gandum. Gaul sebati dan sejukkan.

Ambil sedikit adunan dan bentukkan seperti bebola. Leperkan. Buat hingga habis. 

Cara Membuat Kulit : 

Masukkan kesemua bahan kecuali minyak masak ke dalam mangkuk. Bancuh sebati.

Panaskan minyak dan celup adunan kacang ke dalam bancuhan tepung dan goreng sehingga kuning keemasan.

Angkat dan toskan.  Sedia untuk dihidang.

Jumaat, 14 Oktober 2011

Cucur Jawa

Cucur Jawa

Bahan-bahan :

2 cawan tepung gandum
1 cawan tepung beras
1/2 cawan gula pasir
1 cawan gula merah
Sedikit garam
Air  (lebih kurang 2 cawan)
Minyak untuk menggoreng

Cara Membuatnya : 

Campurkan gula pasir dan gula merah bersama 2 cawan air. Masak hingga mendidih. Biarkan sejuk atau suam.

Tuangkan air gula tadi ke dalam adunan tepung gandum dan tepung beras. Tambahkan garam. Gaul hingga sebati dan ditimbuk-timbuk hingga berbuih.

Peram adunan tadi semalaman.

Ambil sesenduk adunan dan digoreng dengan minyak yang secukupnya. 
 

Khamis, 21 Julai 2011

Cucur Durian

Cucur Durian

Bahan-bahan : 

2 cawan tepung gandum
5 ulas durian
Air suam
Gula
Garam
2 sudu makan kelapa parut
Minyak masak (untuk menggoreng)

Cara Membuatnya : 

Kacau isi durian bersama air suam. Masukkan garam dan gula. Setelah hancur, masukkan tepung gandum dan kelapa parut sedikit demi sedikit.

Kacau dengan lembut supaya cucur tidak menjadi keras. Panaskan minyak di dalam kuali.

Goreng adunan tadi dengan menggunakan sudu satu persatu. Masak hingga warna keemasan dengan api yang sederhana kecil dan angkat.

Sedia untuk dihidang.

Cucur Udang

Cucur Udang

Bahan Untuk Sos : 

1 piring cili kering (rebus)
2 ulas bawang putih
1 cm halia
2 ulas bawang merah
Garam secukupnya
Gula secukup rasa
3 sudu makan gula merah
Sedikit jus asam jawa
2 cawan kacang tanah (goreng tanpa minyak & kisar separa halus)

Bahan Untuk Cucur :

1 kg tepung gandum
300 gram udang basah (saiz kecil / sederhana)
Daun kucai (potong kecil-kecil)
500 gram taugeh
1 sudu teh baking powder
1 sudu teh garam
½ sudu teh serbuk kunyit
½-1 kg minyak masak (untuk menggoreng) 

Cara Untuk  Membuat Sos : 

Kisar cili kering, bawang merah, bawang putih dan halia. Tumis bahan yang dikisar hingga naik minyak.

Kemudian, masukkan kacang tanah yang telah dikisar, gula merah, gula putih dan garam secukup rasa. Seterusnya, masukkan jus asam jawa dan air.

Biarkan mendidih seketika. Tutup api dan ketepikan.

Cara Untuk Membuat Cucur : 

Campurkan tepung gandum, daun kucai, taugeh, baking powder, serbuk kunyit, garam dan sedikit udang di dalam mangkuk.

Bancuh pekat dengan air yang mencukupi. Biarkan selama 1 jam. Sementara itu, panaskan minyak di dalam kuali.

Kaup adunan dengan senduk separa bulat, letak 1-2 ekor udang basah di atas adunan. Masukkan ke dalam minyak panas satu persatu. Goreng sehingga keemasan. Angkat dan tos. Hidang bersama sos cucur udang.

Sedia untuk dihidangkan.

Ahad, 19 Jun 2011

Cucur Kembung

Cucur Kembung

Bahan Untuk Kuih :

800 gram tepung gandum
Sebungkus yis (11 gram)
½ cawan gula
Telur
Garam
Air secukupnya
Minyak untuk menggoreng

Bahan Untuk Kuah :

300 gram kacang tanah
1 piring cili kering dipotong
Minyak untuk menumis
3 ulas bawang merah
Air asam jawa
Gula dan garam secukup rasa

Cara Membuat Kuih :

Ayak tepung gandum. Masukkan telur, gula dan sedikit garam. Yis dimasukkan ke dalam mangkuk dan campurkan dengan sedikit air. Kacau yis tersebut.

Kemudian, masukkan yis ke dalam tepung. Tambahkan air hingga adunan menjadi lembut atau cair seperti membuat cucur.

Adunan hendaklah disimpan sehingga naik 2 kali ganda. Seterusnya, bolehlah digoreng hingga garing.

Cara Membuat Kuah :

Cili kering direbus kemudian dimesin bersama dengan bawang merah.

Buka api, panaskan sedikit minyak dan masukkan cili yang dimesin tadi. Tambahkan sedikit air. Kemudian, tunggu hingga pecah minyak. Kacang tanah dimesin dan janganlah terlalu hancur. 

Apabila telah pecah minyak, masukkan kacang tanah, gula dan garam secukup rasa. Seterusnya, masukkan air asam jawa.

Tunggu masakan mendidih. Kemudian bolehlah dihidang bersama cucur. 


Selasa, 31 Mei 2011

Cucur Badak

Cucucr Badak

Bahan untuk Kulit :

Ubi kayu atau ubi keledek direbus dan dilenyekkan
Sedikit garam
Sedikit air
Tepung gandum


Bahan Untuk Inti :

Kelapa parut daripada 1 biji kelapa
2 batang serai (dimesin)
Jintan manis yang ditumbuk
Cili kering (dimesin)
Minyak untuk menumis dan menggoreng
2 ulas bawang merah dihiris
2 ulas bawang merah (dimesin)
Garam secukup rasa
3 ½ sudu besar gula
Udang


Cara Membuat Kulit :

 

Lenyekkan ubi hingga hancur. Jika menggunakan ubi kayu pastikan kayu keras di tengahnya dibuang.
 
Masukkan garam dan sedikit air. Seterusnya, masukkan tepung gandum sedikit demi sedikit hingga adunan menjadi doh dan boleh dibentuk.
 
Kemudian, ambil sedikit adunan dan buat bentuk bulat serta lubangkan ditengahnya untuk mengisi inti. 

Tutup semula adunan tersebut. Pastikan ia ditutup dengan kemas agar tidak terbuka semasa proses menggoreng nanti.


Cara Membuat Inti :

 

Mesin cili kering bersama bawang dan juga serai. Panaskan sedikit minyak di dalam kuali dan tumiskan bawang merah hingga naik bau.
 
Masukkan cili yang dimesin tadi dan sedikit air. Tambahkan garam, gula, jintan, udang dan seterusnya masukkan kelapa parut. Gaulkan kesemuanya. Masak hingga kering dan tutup api.
 
Kemudian, bolehlah mengambil doh atau adunan kulit untuk dibentuk dan diisikan inti.
 
Setelah siap dibentuk, bolehlah digoreng. Goreng hingga garing.