Memaparkan catatan dengan label Petua Masakan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Petua Masakan. Papar semua catatan

Ahad, 20 Disember 2015

Petua Masak Telur Rebus

telur rebus

Sesetengah orang tidak tahu mengagak bilakah telur yang direbus masak dan sudah sedia diangkat dari atas api. Apa kata anda cuba resipi ini.

Bahan yang diperlukan :

Telur
Tisu
Air
Beras

Cara Memasak Telur Rebus :

1. Lapkan telur dan kemudian rebus di dalam periuk.
2. Masukkan juga sedikit beras dan biarkan hingga beras masak.
3. Tutup api dan telur bolehlah diangkat.

Petua Mendapatkan Telur Dadar yang Gebu


Tentu ramai yang pernah berkata mengapa telur dadar yang kita masak di rumah tidak menjadi cantik dan sedap seperti ketika makan di luar. Bagaimana caranya menjadikannya gebu dan enak dimakan? Petua di bawah mampu menyelesaikan masalah tersebut.

Langkah untuk mendapatkan telur dadar yang gebu ialah :

1. Pecah telur di dalam mangkuk.
2. Masukkan sedikit air lebih kurang 1 sudu.
3. Pukul telur hingga kembang dan goreng telur seperti biasa.

Rabu, 16 September 2015

Petua Memilih Ikan Air Tawar


Terdapat banyak jenis ikan air tawar di pasaran iaitu ikan patin, siakap, keli, tilapia dan pelbagai lagi. Namun yang demikian, masih ramai yang tidak tahu cara memilih ikan air tawar yang baik.

Cara terbaik untuk memilih ikan air tawar segar di pasaran adalah dengan memilih kulitnya yang bersih dan masih berkilat. Jika badan ikan ditekan dengan hujung jari, ia tidak lembut. Matanya jernih dan tidak kemerahan. Insangnya segar dan tidak hanyir.

Petua Menghilangkan Hanyir Ikan Air Tawar


Hanyir pada ikan air tawar dapat dihilangkan dengan memerap menggunakan jus limau nipis ataupun jus asam jawa semasa membersihkannya. Ia juga dapat dihilangkan dengan menambah lebih banyak bahan perencah di dalam masakan yang menjadikan masakan lebih enak.

Selasa, 15 September 2015

Petua Meranggupkan Tomato yang Ranum



Untuk merangupkan tomato yang terlalu ranum dan sedikit lembik, cubalah cara ini. Rendam tomato di dalam air sejuk yang telah dicampurkan dengan sedikit garam. Biarkan semalaman di dalam peti sejuk sebelum digunakan dalam masakan anda. 

Namun, jika ada tomato yang masih hijau pula, cuba cara ini. Masukkan tomato dan pisang ke dalam plastik kedap udara dan biarkan selama dua hari. Pasti tomato akan lebih ranum. Selamat Mencuba :)

Isnin, 3 November 2014

Petua Menghilangkan Rasa Pahit pada Bunga Betik

bunga betik

Alangkah sedapnya jika bunga betik dimasak kerabu. Tetapi jika ianya terlalu pahit pasti mengundang rasa kurang enak. Oleh itu, ada cara untuk menghilangkan rasa pahit pada bunga betik. Caranya ialah dengan memasukkan beberapa helai daun jambu batu bersama bunga betik ketika merebus. Apabila bunga betik telah lembut, baru keluarkan daun jambu batu tersebut dan toskan airnya. Anda boleh mengambil langkah seterusnya dengan memasak menu yang digemari.

Petua Melembutkan Cucur Bawang

cucur bawang

Mungkin ada yang tertanya-tanya cara mendapatkan cucur yang lembut di dalam tetapi garing diluar tanpa memasukkan sebarang serbuk penaik. Caranya ialah masukkan sedikit demi sedikit air panas ke dalam adunan tepung yang telah dicampur sayur-sayuran seperti lobak merah, udang atau ikan bilis dan bawang yang telah dimayang halus. 

Gaul adunan hingga rata. Pastikan bancuhan ketika itu agak keras. Selepas itu campurkan sedikit tepung gandum, sedikit garam dan air putih (biasa) sedikit demi sedikit hingga adunan lembut. 

Tujuan mencampurkan sedikit tepung dan air putih adalah untuk mempercepatkan menggoreng. Cucur akan menjadi garing di luar tetapi lembut di dalam. Jika kita menggunakan air panas semata-mata, cucur yang digoreng akan menjadi lebih berminyak.

Sumber : Majalah Anis Februari 2006

Selasa, 15 April 2014

Petua Memasak Agar-agar Supaya Cukup Lembut dan Manisnya

sudu logam

Untuk mendapatkan agar-agar yang lembut seperti yang dikehendaki adalah amat sukar. Hal ini kerana apabila ianya telah mengeras, semuanya sudah terlambat dan tidak boleh berbuat apa-apa lagi. Di sini ada petua untuk mendapatkan agar-agar yang lembut dan mempunyai rasa manis yang dikehendaki. Seperti yang kita tahu, agar-agar apabila telah mengeras, akan berubah rasanya dan ini amat membimbangkan.

Caranya amat mudah iaitu apabila agar-agar telah mendidih dan sedia untuk disejukkan, sudukan sedikit agar-agar yang masih panas dengan menggunakan sudu logam. Masukkan sudu yang berisi agar-agar itu ke dalam peti sejuk ditempat beku. Biarkan sehingga agar-agar keras dan jangan sampai beku.

Apabila ianya telah keras dan sejuk, keluarkan dan rasa agar-agar tersebut. Kita akan dapat mengetahui sama ada agar-agar itu keras atau lembut. Selain itu, kita juga dapat mengetahui rasanya sama ada kurang manis atau terlajak manis.

Jika masih keras, kita boleh tambahkan air masak ke dalam agar-agar supaya ianya lembut seperti yang dikehendaki. Gula juga boleh ditambah jika kurang manis. Oleh itu, tiada masalah lagi dalam memasak agar-agar. Kita boleh mengetahui keadaannya sebelum ianya sejuk sepenuhnya. Selamat Mencuba.

Rabu, 19 Februari 2014

Petua Tembikai Lebih Manis

tembikai

Sukar untuk memastikan tembikai yang dibeli rasanya manis atau tawar. Walaupun warna tembikai itu cantik tapi tidak semestinya rasanya secantik rupa. Untuk mendapatkan tembikai yang lebih manis, rendam tembikai dalam air garam selama empat jam. Tembikai akan terasa manis.

Sumber : Mingguan Wanita

Petua Melembutkan Daging

daging segar

Merebus daging memerlukan masa lama kerana daging tidak mudah empuk. Tapi dengan memasukkan sebiji betik muda ke dalam rebusan daging bukan sahaja melembutkan daging malah membuatkan masakan bertambah sedap. Cara lain ialah dengan memasukkan sudu atau garfu tembikar dan biarkan daging masak hingga empuk. Selain itu boleh juga dicampurkan dengan satu cawan air kelapa ke dalam rebusan daging. Ini memudahkan daging menjadi lembut.

Sumber : Mingguan Wanita

Petua Agar Telur direbus Tidak Retak

Telur

Merebus telur dalam jumlah yang banyak boleh mengakibatkan telur retak. Agar telur tidak retak, didihkan air dengan garam, kemudian baru masukkan telur. Sementara itu untuk mendapatkan telur cantik apabila dikupas masukkan kulit kentang, kulit bawang merah bersama kentang dalam air rebusan. Pasti telur mudah dikupas selain licin dan cantik.

Sumber : Mingguan Wanita

Jumaat, 1 November 2013

Petua Mendapatkan Laksa Beras yang Lembut

Laksa Beras Eka

Kadang-kala laksa beras yang dimasak tidak begitu lembut dan agak liat ketika dimakan. Cara untuk mendapatkan laksa yang lembut ialah basuh dan rendam terlebih dahulu laksa hingga kembang. Tujuannya adalah untuk mempercepatkan lagi proses merebus nanti. Setelah itu, rebus hingga laksa betul-betul masak dan bolehlah ditutup api.

Tambahkan air lagi ke dalam bekas laksa dan rendam buat seketika. Lebih baik direndam semalaman kerana ianya akan menjadi lebih lembut. Rendaman kali terakhir ini adalah untuk memastikan laksa betul-betul lembut dan tidak liat.

Akhir sekali, bolehlah ditoskan. Anda akan mendapat laksa yang betul-betul lembut dan sangat mudah untuk dimakan. Selain itu, laksa akan menjadi lebih banyak kerana ianya kembang sepenuhnya.

Petua Mendapatkan Biji Petai yang Besar

Biji petai

Untuk mendapatkan biji petai yang besar dan segar, ambil biji petai dan rendamkan ke dalam air garam lalu dibiarkan semalaman. Keesokan harinya lihat perubahan petai tersebut. Pasti anda akan berpuas hati dengan hasilnya.


Isnin, 29 Julai 2013

Petua Melembutkan Donat


Kuih Donat

Kuih donat yang kita buat biasanya agak keras terutama setelah sejuk. Untuk mengelakkan donat menjadi keras, campurkan dua atau tiga biji ubi kentang yang telah direbus dan dilenyek ke dalam bancuhan tepung donat. Insya-Allah donat tadi akan menjadi lembut dan sedap rasanya walaupun telah sejuk.

Sumber : Mingguan Wanita
 

Petua Menyedapkan Masakan Kari


Rempah yang anda beli di kedai sesetengahnya tidak memberikan rasa yang enak jika anda memasaknya tanpa menambahkan bahan lain ke dalamnya. Untuk menjadikan kari anda lebih enak, eloklah anda campurkan sedikit ketumbar dan sebiji bawang putih ketika kari anda sudah menggelegak dan hendaklah diangkat. Dengan cara ini kari anda akan menjadi lebih berperisa.

Sumber : Mingguan Wanita
 

Selasa, 23 Julai 2013

Petua Hilangkan Bau Nasi Hangit

Nasi Putih

Nasi yang anda masak berbau hangit? Jangan risau, untuk menghilangkan bau tidak enak ini anda hanya perlu ambil beberapa biji cili padi. Cucukkan hujungnya ke permukaan nasi tersebut dan tutup. Biarkan seketika hingga cili padi tadi layu dan kelihatan agak lebam barulah bau hangit itu akan hilang. Selepas itu nasi itu bolehlah dimakan. Selamat mencuba.

Sumber : Mingguan Wanita
 

Petua Tempeyek Lebih Enak

Tempeyek 

Untuk menghasilkan tempeyek yang lebih enak, bukanlah sesukar mana. Tapi pastikan kacang kering (kecuali kacang tanah) yang anda gunakan direndam semalaman dan ditoskan airnya terlebih dahulu sebelum membancuh adunan untuk membuat tempeyek. Hal ini bagi memastikan kacang tersebut cukup empuk dan mudah dikunyah kelak. Jika anda inginkan aroma tempeyek yang lebih segar, tambahkan beberapa helai daun limau purut yang telah dihiris melintang halus. 

Ketika menggoreng pula, gorengkan tempeyek di atas api yang sederhana saja. Jangan tuang adunan terlalu banyak hingga ia jadi tebal dan pastikan ia cukup garing ketika dibalikkan. Angkat setelah ia berwarna coklat rata. Kemudian toskan di atas kertas penyerap minyak. Simpan dalam bekas kedap udara.

Sumber : Mingguan Wanita