Ahad, 5 Ogos 2012

Kaswi Pandan Seri Wangi

Kaswi Pandan Seri Wangi



Bahan-bahan :

1 1/2 cawan tepung gandum
1/2 cawan tepung ubi
1 cawan gula pasir halus
2 1/3 cawan santan @ (guna santan kotak 200ml dan selebihnya tambah air biasa)
1 cawan air pandan (air dikisar bersama 3 helai daun pandan dan tapiskan)
1 sudu besar air kapur sireh
1/2 sudu kecil garam
Sedikit pewarna hijau

**1/2 biji kelapa parut putihnya sahaja dan sedikit garam halus, gaulkan rata dan boleh di makan bersama kaswi pandan seri wangi.

Cara Membuatnya :

1. Panaskan kukusan sementara membancuh adunan kaswi.

2. Sapu sedikit minyak di sekeliling loyang dan alaskan plastik. Jika menggunakan acuan kecil sapu bekas acuan dengan sedikit minyak juga. Ketepikan dulu.

3. Campurkan tepung ubi dan tepung gandum di dalam mangkuk besar.

4. Masukkan gula, garam, air pandan dan santan. Gaul sebati.

5. Masukkan air kapur dan pewarna hijau. Boleh juga diblender kesemuanya. Tuang ke dalam loyang yang telah dipanaskan.

6. Kukus selama 25-30 minit. Kalau guna acuan kecil, masa mengukus adalah lebih pendek antara 15-20 minit.

7. Bila sudah masak, angkat dan sejukkan. Biarkan kuih betul-betul sejuk barulah di potong. Enak dimakan bersama kelapa parut.

 Sumber : Yatiememories

Sabtu, 4 Ogos 2012

Agar-agar Jagung

Agar-agar Jagung

Agar-agar Jagung Lemak Manis

Bahan-bahan :

24 gram agar-agar
½ cawan susu cair
½ cawan susu pekat
Gula secukup rasa
5 cawan air
Bes Perisa Jagung (bahan yang digunakan untuk membancuh air)

Cara Membuatnya :

Masak agar-agar bersama 5 cawan air sehingga agar-agar hancur. 

Kemudian, masukkan gula secukup rasa. Jangan terlalu banyak kerana susu pekat juga akan membuatkan agar-agar berasa manis.

Seterusnya, masukkan perisa jagung, susu cair dan susu pekat. Masak hingga mendidih.

Tuangkan ke dalam bekas. Sejukkan hingga agar-agar menjadi keras.

Sedia untuk dihidang.

Jumaat, 3 Ogos 2012

Apam Gula Hangus 2

Apam Gula Hangus Enak

Bahan-bahan :

2 biji telur
1 cawan gula pasir
1 cawan air
½ cawan minyak masak
2 sudu besar marjerin
2 sudu susu pekat
1 sudu teh soda bikarbonat
1 ½ cawan tepung gandum

Cara Membuatnya :

1. Gula dihanguskan kemudian dicampurkan dengan air. Sejukkan.

2. Di dalam blender masukkan telur, susu, minyak dan marjerin. Kisar selama 3 minit.

3. Masukkan gula yang telah disejukkan tadi bersama-sama soda bikarbonat dan dikisar lagi.

4. Akhir sekali, masukkan tepung dan dikisar lagi sehingga sebati.

5. Kukus adunan tadi di dalam loyang yang telah disapu dengan minyak masak selama 45 minit. Boleh juga menggunakan acuan mangkuk plastik.

6. Sekiranya adunan nampak cair, boleh tambahkan sedikit tepung agar apam tadi tidak mendap dan basah di bahagian bawahnya.