Sabtu, 12 Januari 2013

Mee Tom Yam



Bahan-bahan :

1 bungkus mee kuning (dicelur dengan air panas)
1 bungkus perencah tom yam
Ayam (dipotong kecil)
2 ulas bawang besar (dimesin)
1 ulas bawang besar (dipotong empat)
10 batang cili padi (dimesin)
Kobis (dihiris)
Sonak jagung (dihiris)
2 batang lobak merah (dipotong)
2 biji buah tomato (dipotong 4 atau 6)
8 helai daun limau purut (dikoyak-koyak)
2 batang serai (diketuk sedikit)
Garam secukup rasa
Sedikit air asam jawa
Sedikit minyak


Cara Membuatnya :

1. Mesin dua ulas bawang besar bersama cili padi hingga hancur.

2. Panaskan sedikit minyak, tumis bahan yang dikisar tadi hingga naik bau. Kemudian, masukkan perencah tom yam.

3. Seterusnya, masukkan ayam, serai, garam dan juga daun limau purut. Masak hingga ayam lembut.

4. Masukkan air secukupnya dan juga lobak merah, sonak jagung, bawang besar dan kobis yang telah dipotong.

5. Masukkan sedikit air asam jawa dan buah tomato.

6. Masak hingga sayur lobak merah dan sonak jagung menjadi lembut serta mendidih.

7. Sedia untuk dihidang. Makan bersama mee kuning yang telah dicelur.

Jumaat, 11 Januari 2013

Biskut Bunga Blueberry



Bahan-bahan :

1 cawan marjerin
½ cawan gula halus
2 cawan tepung jagung
1 cawan tepung gandum
1 sudu teh esen vanila
Sedikit pewarna
Jem blueberry secukupnya


Cara Membuatnya :

Pukul marjerin dan gula halus hingga kembang. Kemudian, masukkan esen vanila dan sedikit pewarna. Kacau lagi.

Seterusnya, masukkan tepung gandum dan tepung jagung. Uli doh hingga sebati. Jika masih lembut, masukkan tepung jagung lagi.

Canai doh dan terap menggunakan acuan bunga. Letakkan jem blueberry di tengahnya.

Bakar hingga masak.

Khamis, 10 Januari 2013

Biskut Senyum



Bahan-bahan :

1 cawan marjerin
½ cawan gula halus
1 ¾ cawan tepung gandum
½ cawan tepung kastard
½ sudu teh esen vanila
Ceri secukupnya


Cara Membuatnya :

1. Kacau marjerin dan gula hingga kembang. 

2. Masukkan esen vanila dan kacau lagi. 

3. Masukkan tepung kastard dan tepung gandum.

4. Gaul hingga sebati. Tekan menggunakan acuan samperit dan letakkan ceri.

5. Bakar hingga masak. Simpan di dalam bekas kedap udara apabila biskut telah sejuk.

Rabu, 9 Januari 2013

Cucur Jagung


Bahan-bahan :

2 batang jagung (dihiris isinya)
1 labu bawang besar (cincang)
2 biji cili merah @ cili kering (dihiris dan dicincang)
3 cawan tepung gandum
Sedikit ikan bilis (ditumbuk)
Air panas
Air biasa
Garam dan gula secukup rasa
Minyak masak (untuk menggoreng)


Cara Membuatnya :

Campurkan tepung gandum, ikan bilis, isi jagung, gula, bawang besar dan cili merah.

Masukkan air panas dan kacau. Jangan masukkan terlalu banyak air panas kerana boleh menyebabkan cucur terlalu lembut.

Seterusnya, masukkan air garam dan air secukupnya. Kacau hingga sebati.

Goreng adunan tadi dengan menggunakan sudu satu persatu. Masak hingga warna keemasan dengan api yang sederhana kecil dan angkat.

Hidangkan bersama sos cili atau sos tomato. 

Sedia untuk dihidangkan.

Sabtu, 5 Januari 2013

Bubur Ayam (Sup)


Bahan-bahan :

½ ekor ayam (dipotong kecil)
2 cawan beras
4 ulas bawang merah (ditumbuk)
3 ulas bawang putih (ditumbuk)
Halia  (ditumbuk)
1 bungkus kecil perencah sup (lebih kurang 5 sudu besar dan dibancuh dengan sedikit air)
Sayur sawi
Daun sup dan daun bawang
Santan
Garam secukup rasa


Cara Membuatnya :

1. Masak beras dengan air yang banyak sehingga hancur. Hendaklah dikacau selalu agar tidak berkerak dan nasi hancur dengan baik.

2. Sementara menunggu nasi lembut, panaskan sedikit minyak dan tumis bahan yang ditumbuk iaitu bawang merah, bawang putih dan halia. 

3. Setelah bawang menjadi kuning, masukkan perencah sup, ayam dan sedikit garam. Tambahkan air jika terlalu kering.  Masak hingga ayam lembut. Tutup api.

4. Apabila nasi telah hancur dan lembut masukkan sayur sawi. Biarkan seketika.

5. Kemudian, masukkan ayam yang dimasak tadi bersama kuahnya. Masukkan juga santan dan garam secukup rasa.

6. Tunggu hingga mendidih. Taburkan daun sup dan daun bawang. Sedia untuk dihidang.

Mee Kuah


Bahan-bahan :

3 bungkus mee kuning (dicelur dengan air panas)
1 ekor ayam (dipotong kecil)
1 piring cili kering yang dipotong
4 ulas bawang merah (dimesin)
2 ulas bawang merah (dihiris)
4 ketul ubi keledek (direbus dan diblender hingga hancur)
Air asam jawa
Sawi (dipotong)
3 biji buah tomato (dipotong 4)
Sos cili
Gula dan garam secukup rasa


Cara Membuatnya :

Rebus cili kering hingga mendidih. Tutup api dan basuh cili kering tersebut. Mesin cili bersama 4 ulas bawang merah hinggga hancur.

Panaskan sedikit minyak, tumis bawang merah yang dihiris hingga kuning dan masukkan bahan yang dikisar tadi.

Seterusnya, masukkan ayam dan garam. Tunggu hingga ayam masak.

Setelah itu, masukkan ubi keledek yang dimesin dan sedikit air asam jawa. Masukkan juga air yang secukupnya.

Masukkan sayur sawi dan buah tomato. Tambahkan sedikit sos cili dan gula secukup rasa. Tunggu hingga sayur lembut dan kuah telah mendidih.

Tutup api dan bolehlah dihidang bersama mee kuning.


Nota : Untuk lebih enak, boleh dihidang bersama telur, bawang goreng dan tauhu mengikut citarasa sendiri. Sukatan untuk resepi ini boleh dimakan lebih daripada 10 orang.