Sabtu, 6 Julai 2013

Murtabak Pisang

Murtabak Pisang 

Bahan Doh :
 
500 gram tepung gandum
2 sudu besar gula
Air secukupnya
Minyak masak
1 biji telur ayam
Sedikit garam
Daun pisang


Bahan Inti :

Pisang yang telah masak (dihiris nipis)
Sedikit gula


Cara Membuatnya :

1. Ayak tepung gandum dan masukkan telur, gula dan garam.

2. Seterusnya, masukkan air sedikit demi sedikit. Uli hingga tepungnya tidak melekat pada tangan dan menjadi doh yang baik atau sebati.

3. Bentukkan adunan menjadi bebola seberat 60 gram. Letakkannya di dalam bekas yang berisi minyak masak agar tidak melekat antara satu sama lain. Perap selama 3 jam. 

4. Tebar bebola tepung hingga nipis dan kembang. Lapikkan dengan daun pisang agar mudah diangkat ketika hendak menggoreng nanti.

5. Pisang dihiris nipis dan masukkan sedikit gula. Gaulkan hingga sebati.

6. Tuangkan inti pisang di tengah dan lipat bentuk empat segi. 

7. Panaskan kuali nipis dan sapukan minyak masak. Goreng murtabak sebahagian demi sebahagian sehingga masak. 

8. Sedia untuk dihidang.

Ahad, 23 Jun 2013

Bubur Asyura Manis (Utara)

Bubur Asyura Manis (Utara)

Bahan-bahan :

4 cawan tepung beras
11 cawan santan
5 sudu besar gula atau secukup rasa
1 ½ cawan gula merah (boleh kurangkan)
300 gram kacang hijau (direbus)
250 gram kacang kuda (direbus dan masukkan sedikit garam)
Sedikit garam
2 helai daun pandan (disimpul)


Cara Membuatnya :

1. Masak gula merah bersama 2 cawan santan sehingga gula merah hancur. Sejukkan.

2. Campurkan tepung beras bersama gula, sedikit garam dan santan. Kacau hingga sebati dan tidak berketul.

3. Tapiskan air gula merah tadi dan masukkan ke dalam adunan tepung. Kacau lagi.

4. Seterusnya, tuangkan ke dalam kuali dan masak dengan api yang sederhana. Pastikan ianya dikacau selalu agar tidak berkerak.

5. Setelah agak pekat, masukkan kacang hijau dan juga kacang kuda yang telah direbus.

6. Kacau sehingga pekat dan rasa manisnya. Jika keras, boleh tambahkan sedikit lagi santan. 

7. Angkat dan tuang dalam loyang. Sejukkan dan bolehlah dipotong. Sedia untuk dihidang.


Nota :

Anda boleh tukarkan atau tambahkan bahan-bahan lain contohnya jagung, ubi keledek, ubi kayu dan sebagainya mengikut citarasa anda. Tetapi, ianya hendaklah direbus terlebih dahulu.

Selasa, 18 Jun 2013

Murtabak Maggi


Bahan-bahan :


1 bungkus maggi perisa kari
3 biji telur
Cili hidup (dihiris nipis)
2 ulas bawang merah (dipotong dadu)
Udang kecil
Sedikit garam


Cara Membuatnya :


1. Rebus maggi hingga lembut. Toskan airnya.

2. Pecahkan telur dan masukkan maggi, cili hidup, bawang merah dan juga udang. Kacau hingga kembang.

3. Masukkan perencah maggi, sedikit garam dan kacau lagi.

4. Buka api, masukkan sedikit minyak di dalam kuali kecil dan ratakannya. 

5. Masukkan adunan maggi tadi dan ratakan ke permukaan kuali mengikut ketebalan yang diingini. Goreng dengan api perlahan. 

6. Potong kecil-kecil apabila sudah masak. Sedia untuk dihidang.