Khamis, 21 Julai 2011

Kuih Cara

Kuih Cara

Bahan-bahan : 

3 cawan tepung gandum
2 ½ cawan santan + pandan
1 biji telur
½ sudu teh garam
2 sudu gula
Gula secukupnya
Sedikit minyak

Cara membuatnya : 

Ayak tepung gandum, masukkan telur, garam dan dua sudu gula. Kemudian masukkan santan bercampur pandan sedikit demi sedikit.

Kacau hingga sebati. Pastikan adunan tidak berketul. Jika tidak sebati, tapis adunan menggunakan penapis dan dilenyek hingga pecah.

Guna acuan kuih bahulu, letakkan di atas api dan masukkan sedikit minyak. Seterusnya, masukkan 1 sudu bancuhan tepung tadi dan sedikit gula mengikut citarasa. Tutup dengan tudung periuk dan tunggu hingga masak.

Setelah itu, bolehlah dicungkil untuk mengeluarkan kuihnya. Ulang cara ini sehingga tepung habis.

Kuih Lidah Buaya

Kuih Lidah Buaya

Bahan-bahan : 

800 gram tepung gandum
2 sudu besar gula
½ sudu teh garam
2 sudu besar marjerin dipanaskan sehingga cair
Tepung ubi kayu
Minyak masak
Gula halus secukupnya 

Cara Membuatnya : 

Ayak tepung gandum. Masukkan gula, garam dan marjerin yang dicairkan. Gaulkan. Kemudian masukkan air sedikit demi sedikit. Uli sehingga sebati.

Setelah itu, di dalam bekas yang lain masukkan tepung ubi dan campurkan minyak masak sedikit demi sedikit. Bancuhan adalah agak cair untuk disapukan ke permukaan doh.

Ambil sedikit doh yang siap diuli dan canaikan senipis yang mungkin. Kemudian sapukan dengan bancuhan tepung ubi kayu tadi sehingga rata.

Kemudian, bolehlah dilipat dan dipotong kecil-kecil.

Goreng hingga kekuningan. Kemudian, taburkan dengan gula halus. 

Lempeng Kelapa

Lempeng Kelapa 

Bahan-bahan :

3 cawan tepung gandum
1 cawan kelapa parut
Gula dan garam secukup rasa
Air secukupnya
Sedikit minyak 

Cara Membuatnya : 

Ayak tepung gandum. Masukkan kelapa parut, gula dan garam secukup rasa.

Seterusnya, masukkan air sedikit demi sedikit. Kacau perlahan-lahan sehingga doh menjadi sebati. Adunan hendaklah cair sedikit berbanding membuat cucur.

Kemudian, panaskan kuali masukkan sedikit minyak lebih kurang satu sudu ratakan keseluruh kuali.

Cedukkan 1 senduk aduan dan buat bentuk bulatan nipis. Tunggu hingga garing dan alihkan pula di bahagian yang lain. Apabila kekuningan bolehlah diangkat.

Buat sehingga adunan habis. Lempeng ini sedap dimakan begitu sahaja atau bersama kari dan juga sambal.


Ahad, 19 Jun 2011

Cucur Kembung

Cucur Kembung

Bahan Untuk Kuih :

800 gram tepung gandum
Sebungkus yis (11 gram)
½ cawan gula
Telur
Garam
Air secukupnya
Minyak untuk menggoreng

Bahan Untuk Kuah :

300 gram kacang tanah
1 piring cili kering dipotong
Minyak untuk menumis
3 ulas bawang merah
Air asam jawa
Gula dan garam secukup rasa

Cara Membuat Kuih :

Ayak tepung gandum. Masukkan telur, gula dan sedikit garam. Yis dimasukkan ke dalam mangkuk dan campurkan dengan sedikit air. Kacau yis tersebut.

Kemudian, masukkan yis ke dalam tepung. Tambahkan air hingga adunan menjadi lembut atau cair seperti membuat cucur.

Adunan hendaklah disimpan sehingga naik 2 kali ganda. Seterusnya, bolehlah digoreng hingga garing.

Cara Membuat Kuah :

Cili kering direbus kemudian dimesin bersama dengan bawang merah.

Buka api, panaskan sedikit minyak dan masukkan cili yang dimesin tadi. Tambahkan sedikit air. Kemudian, tunggu hingga pecah minyak. Kacang tanah dimesin dan janganlah terlalu hancur. 

Apabila telah pecah minyak, masukkan kacang tanah, gula dan garam secukup rasa. Seterusnya, masukkan air asam jawa.

Tunggu masakan mendidih. Kemudian bolehlah dihidang bersama cucur. 


Kuih Seri Ayu Kak Ani

Kuih Seri Ayu Kak Ani
Seri Ayu





Bahan-bahan :


2 cawan tepung gandum
2 cawan gula pasir
4 biji telur
1 peket eno
Sedikit pewarna hijau (jika perlu)
Kelapa parut dibuang kulit
Sedikit garam
Minyak untuk disapu pada acuan
1 cawan santan di campur bersama daun pandan (kisar daun pandan)

 

Cara Membuatnya :


Blender gula dengan telur hingga kembang. Kemudian masukkan tepung dan santan yang dicampur bersama pandan. Kacau hingga sebati.

Akhir sekali masukkan eno. Kacau lagi.

Sapukan minyak pada acuan terlebih dahulu. Kelapa parut digaul dengan sedikit garam.

Kemudian, masukkan kelapa parut dalam acuan dan tuang bancuhan tepung tadi. Kukus sampai masak.

Nota : Jika tiada daun pandan, boleh letakkan 1 sudu teh perisa pandan dan sedikit pewarna hijau.

Buah Melaka

Buah Melaka

Bahan-bahan :

3 cawan tepung pulut
¼ sudu teh kapur sirih
Sedikit garam
Daun pandan dijadikan jus
Sedikit pewarna hijau jika perlu
Air secukupnya
1/2 biji kelapa parut (putih sahaja)
2-3 keping gula melaka (dipotong dadu)

Cara Membuatnya :

Campurkan tepung pulut berserta sedikit garam, kapur sirih, jus pandan, air dan pewarna sehingga menjadi doh.

Gentelkan doh sebesar biji guli dan isikan gula melaka ditengah-tengahnya.

Sementara itu, jerang air di dalam periuk.

Masukkan bebola doh tadi ke dalam air yang mendidih. Bebola akan timbul apabila telah masak. Angkat dan salutkan dengan kelapa parut. Sedia untuk dihidang.