Jumaat, 20 Januari 2012

Agar-agar Laici Rasa Sayang Ain


Agar-agar Laici Rasa Sayang Ain

Bahan-bahan : 

20 gram agar-agar bertali 
1 tin laici
Gula secukup rasa 
4 cawan air

Cara Membuatnya : 

Rebus agar-agar bersama 4 cawan air hingga hancur. Agar-agar hendaklah sentiasa dikacau agar kembang dan hancur dengan baik. Kemudian, masukkan pula gula secukup rasa.

Blender separuh atau setengah buah laici yang berada dalam tin bersama airnya. Mesin hingga hancur. Jadikan 2 cawan. Jika tidak mencukupi dua cawan bolehlah tambahkan air biasa untuk dijadikan 2 cawan.

Setengah lagi buah laici yang tinggal, hendaklah dipotong kecil dan asingkannya dengan memasukkan ke dalam acuan. 

Seterusnya, masukkan 2 cawan air laici yang dimesin tadi dan dikacau hingga sebati. Setelah agar-agar mendidih, tuangkan ke dalam acuan yang berisi laici dipotong tadi.

Masukkan ke dalam peti sejuk. Apabila telah sejuk dan keras bolehlah dimakan.


Khamis, 12 Januari 2012

Apam Betawi Rehan

Apam Betawi Rehan

Bahan-bahan : 

1 cawan telur (lebih kurang 5 biji telur) 
1 cawan gula
1 cawan tepung gandum 
1 sudu besar esen vanilla
Pewarna (jika suka)

Cara Membuatnya : 

Pukul telur dengan gula hingga kembang dan gebu. Kemudian, masukkan esen vanilla. Kacau lagi. 

Seterusnya masukkan tepung gandum dan pewarna. Kacau hingga sebati.

Alas acuan atau loyang dengan kertas terlebih dahulu kerana takut kuih akan melekat.

Panaskan tempat pengukus. Masukkan adunan dalam acuan dan kukus hingga masak. Kukus dengan api yang agak kuat.

Setelah sejuk bolehlah dipotong.

Khamis, 22 Disember 2011

Biskut Chips More (Fazlina)

Biskut Chips More

Bahan-bahan : 

120 gram mentega
150 gram gula merah lembut 
1 sudu teh esen vanilla
1 biji telur (dipukul) 
180 gram tepung gandum
1 sudu teh serbuk penaik 
1 sudu teh soda bikarbonat
75 gram coklat chip 
1 sudu teh serbuk koko (jika perlu)

Cara Membuatnya : 

Pukul marjerin dan gula hingga kembang. Kemudian, masukkan esen vanilla dan telur. 

Masukkan juga coklat chip dan serbuk koko jika untuk menampakkan biskut lebih gelap.

Seterusnya, ayak tepung gandum bersama serbuk penaik dan soda bikarbonat. Campurkan bersama adunan marjerin tadi. 

Gaul dan uli hingga sebati. Kemudian, bolehlah dibentuk bulat-bulat dan dileperkan. Boleh juga ditekan menggunakan acuan mengikut citarasa sendiri.

Bakar hingga masak.

Rabu, 21 Disember 2011

Apam Tepung Gandum

Apam Tepung Gandum

Bahan-bahan : 

4 1/4 cawan tepung gandum
1/2 cawan gula merah lembut atau gula perang
1/4 cawan gula pasir (secukup rasa)
2 1/2 cawan air
1 peket yis (mauripan)
Kelapa parut putih yang dikukus dan dicampurkan dengan sedikit garam untuk dimakan bersama apam

Cara Membuatnya : 

Sapu sekeliling loyang dengan minyak.

Bancuh yis bersama dengan 1/2 cawan air dan ketepikan.

Campurkan tepung gandum bersama dengan gula merah lembut dan gula pasir. Kemudian, tuangkan bancuhan yis tadi bersama 2 cawan air.

Kacau hingga sebati, licin dan tidak berbintil.

Tuangkan adunan ke dalam loyang dan biarkan ianya naik 2 kali ganda selama lebih kurang 45 minit hingga 1 jam.

Panaskan kukusan dan kukus selama 30 - 45 minit.

Biarkan apam menjadi sejuk sebelum dipotong. Sedap dihidang bersama kelapa parut kukus.

Isnin, 12 Disember 2011

Kek Pelangi Rehan

Kek Pelangi Rehan

Bahan-bahan : 

1 ½ cawan mentega
1 ½ cawan gula halus
8 biji telur
2 cawan tepung gandum
2 sudu kecil serbuk penaik
2 sudu kecil esen vanilla

Cara Membuatnya : 

Pukul mentega dan gula hingga kembang.

Masukkan esen vanilla.

Kemudian, masukkan telur sebiji demi sebiji. Pukul lagi.

Masukkan tepung gandum dan serbuk penaik. Kacau hingga sebati.

Bahagikan adunan kepada beberapa bahagian dan warnakan mengikut citarasa sendiri.

Sapukan permukaan loyang dengan mentega terlebih dahulu.

Bakar hingga masak.

Nasi Kuning Rehan

Nasi Kuning Enak

Bahan-bahan : 

2 cawan beras
2 ulas bawang merah (dihiris)
2 tangkai daun kari
Bunga cengkih
Bunga lawang
Kulit kayu manis
2 helai daun pandan (diikat)
Serbuk kunyit secukupnya
Garam secukup rasa 

Cara Membuatnya : 

Panaskan sedikit minyak dalam periuk. Tumis bawang merah, daun kari, bunga cengkih, bunga lawang dan kulit kayu manis.

Apabila telah garing sedikit dan naik bau masukkan beras dan air secukupnya.

Setelah itu, masukkan juga garam, daun pandan dan kunyit. Kemudian, masak nasi seperti biasa.