Jumaat, 1 November 2013

Petua Mendapatkan Laksa Beras yang Lembut

Laksa Beras Eka

Kadang-kala laksa beras yang dimasak tidak begitu lembut dan agak liat ketika dimakan. Cara untuk mendapatkan laksa yang lembut ialah basuh dan rendam terlebih dahulu laksa hingga kembang. Tujuannya adalah untuk mempercepatkan lagi proses merebus nanti. Setelah itu, rebus hingga laksa betul-betul masak dan bolehlah ditutup api.

Tambahkan air lagi ke dalam bekas laksa dan rendam buat seketika. Lebih baik direndam semalaman kerana ianya akan menjadi lebih lembut. Rendaman kali terakhir ini adalah untuk memastikan laksa betul-betul lembut dan tidak liat.

Akhir sekali, bolehlah ditoskan. Anda akan mendapat laksa yang betul-betul lembut dan sangat mudah untuk dimakan. Selain itu, laksa akan menjadi lebih banyak kerana ianya kembang sepenuhnya.

Petua Mendapatkan Biji Petai yang Besar

Biji petai

Untuk mendapatkan biji petai yang besar dan segar, ambil biji petai dan rendamkan ke dalam air garam lalu dibiarkan semalaman. Keesokan harinya lihat perubahan petai tersebut. Pasti anda akan berpuas hati dengan hasilnya.


Selasa, 15 Oktober 2013

Agar-Agar Kering

Agar-agar Kering

Agar-agar Kering Warna-warni

Bahan-bahan :

1 tahil agar-agar bertali (37.5 gram)
1 kg gula pasir
Air yang disukat
Pewarna merah, hijau dan kuning


Cara Membuatnya :

1. Pertama sekali, basuh agar-agar bertali hingga bersih.

2. Masukkan agar-agar ini ke dalam jug air. Tujuan memasukkan agar-agar ke dalam jug adalah untuk menyukat kandungan agar-agar dan jumlah air yang perlu dimasukkan.

3. Tandakan kedudukan agar-agar tersebut di jug. Contohnya jika agar-agar tersebut berada di tengah jug, tandakan kedudukan tersebut.

4. Setelah itu, tuangkan agar-agar ke dalam periuk.

5. Masukkan air sebanyak 2 kali di mana kedudukan agar-agar yang ditanda pada jug tadi.

6. Rebus agar-agar bersama air yang disukat sehingga mendidih dan hancur.

7. Apabila agar-agar telah hancur semuanya, masukkan gula pasir.

8. Masak hingga mendidih dan bolehlah tutup api.

9. Asingkan agar-agar kepada 4 bekas. Setiap bekas diwarnakan dengan warna yang berlainan. Hijau, kuning, merah dan satu lagi dibiarkan putih.

10. Setelah sejuk dan keras bolehlah dipotong. Jangan potong terlalu kecil kerana agar-agar akan mengecut selepas kering.

11. Jemur agar-agar. Sesekali balik-balikkan agar-agar supaya kering sekata. Jemur sehingga seminggu dan agar-agar tidak melekat serta kering sepenuhnya.