Rabu, 21 Disember 2011

Apam Tepung Gandum

Apam Tepung Gandum

Bahan-bahan : 

4 1/4 cawan tepung gandum
1/2 cawan gula merah lembut atau gula perang
1/4 cawan gula pasir (secukup rasa)
2 1/2 cawan air
1 peket yis (mauripan)
Kelapa parut putih yang dikukus dan dicampurkan dengan sedikit garam untuk dimakan bersama apam

Cara Membuatnya : 

Sapu sekeliling loyang dengan minyak.

Bancuh yis bersama dengan 1/2 cawan air dan ketepikan.

Campurkan tepung gandum bersama dengan gula merah lembut dan gula pasir. Kemudian, tuangkan bancuhan yis tadi bersama 2 cawan air.

Kacau hingga sebati, licin dan tidak berbintil.

Tuangkan adunan ke dalam loyang dan biarkan ianya naik 2 kali ganda selama lebih kurang 45 minit hingga 1 jam.

Panaskan kukusan dan kukus selama 30 - 45 minit.

Biarkan apam menjadi sejuk sebelum dipotong. Sedap dihidang bersama kelapa parut kukus.

Isnin, 12 Disember 2011

Kek Pelangi Rehan

Kek Pelangi Rehan

Bahan-bahan : 

1 ½ cawan mentega
1 ½ cawan gula halus
8 biji telur
2 cawan tepung gandum
2 sudu kecil serbuk penaik
2 sudu kecil esen vanilla

Cara Membuatnya : 

Pukul mentega dan gula hingga kembang.

Masukkan esen vanilla.

Kemudian, masukkan telur sebiji demi sebiji. Pukul lagi.

Masukkan tepung gandum dan serbuk penaik. Kacau hingga sebati.

Bahagikan adunan kepada beberapa bahagian dan warnakan mengikut citarasa sendiri.

Sapukan permukaan loyang dengan mentega terlebih dahulu.

Bakar hingga masak.

Nasi Kuning Rehan

Nasi Kuning Enak

Bahan-bahan : 

2 cawan beras
2 ulas bawang merah (dihiris)
2 tangkai daun kari
Bunga cengkih
Bunga lawang
Kulit kayu manis
2 helai daun pandan (diikat)
Serbuk kunyit secukupnya
Garam secukup rasa 

Cara Membuatnya : 

Panaskan sedikit minyak dalam periuk. Tumis bawang merah, daun kari, bunga cengkih, bunga lawang dan kulit kayu manis.

Apabila telah garing sedikit dan naik bau masukkan beras dan air secukupnya.

Setelah itu, masukkan juga garam, daun pandan dan kunyit. Kemudian, masak nasi seperti biasa.

Khamis, 8 Disember 2011

Kek Coklat Lembab (Linda)


Kek Coklat Lembab

Bahan Untuk Kek : 

180 gram marjerin
250 gram gula kastor
3 biji telur
300 gram air
250 gram tepung gandum
50 gram serbuk koko
1 sudu kecil baking powder
1 sudu kecil soda bikarbonat

Bahan Untuk Topping Coklat : 

1 sudu marjerin
2-3 sudu susu pekat manis
2-3 sudu serbuk koko
Sedikit sahaja air

Cara Membuat Kek : 

Ayak tepung gandum bersama serbuk koko, baking powder dan soda bikarbonat. Ketepikan dahulu.

Pukul gula dan marjerin sehingga kembang dan gebu. Kemudian, masukkan telur satu persatu.

Masukkan tepung gandum tadi dan akhir sekali masukkan air pula.

Lapikkan dulang dengan kertas terlebih dahulu dan tuangkan adunan.

Bakar dalam oven yang telah dipanaskan 180'C selama 50-60 minit. 

Cara Membuat Topping : 

Masukan semua bahan dalam periuk kecil. Panaskan periuk kecil dalam periuk yang lebih besar berisi air dan sentiasa kacau.

Masak sehingga coklat agak pekat. Curahkan perlahan atas kek coklat dan ratakan dengan spatula kek dan gunakan sikat kek untuk membuat corak. Hiaskan.

Jumaat, 2 Disember 2011

Cucur Kacang Hijau @ Kuih Kasturi

Cucur Kacang Hijau @ Kuih Kasturi

Bahan Untuk Kuih : 

1 cawan kacang hijau (rendam selama 4 hingga 5 jam)
Air secukupnya untuk merebus
½ cawan gula pasir (ikut suka manisnya)
3 sudu makan kelapa parut
3 sudu makan tepung gandum 

Bahan Untuk Kulit /Salut : 

1 cawan tepung gandum
½ cawan tepung beras
1 sudu teh serbuk kunyit
½ sudu teh kapur sirih
Air secukupnya
½ sudu teh garam
Minyak masak secukupnya (menggoreng) 

Cara Membuat Kuih : 

Kacang hijau direbus sehingga kacang hijau tersebut pecah dan empuk serta kering airnya.
Tetapi jangan sampai hangus.

Masukkan kelapa, gula dan tepung gandum. Gaul sebati dan sejukkan.

Ambil sedikit adunan dan bentukkan seperti bebola. Leperkan. Buat hingga habis. 

Cara Membuat Kulit : 

Masukkan kesemua bahan kecuali minyak masak ke dalam mangkuk. Bancuh sebati.

Panaskan minyak dan celup adunan kacang ke dalam bancuhan tepung dan goreng sehingga kuning keemasan.

Angkat dan toskan.  Sedia untuk dihidang.