Jumaat, 3 Ogos 2012

Apam Gula Hangus 2

Apam Gula Hangus Enak

Bahan-bahan :

2 biji telur
1 cawan gula pasir
1 cawan air
½ cawan minyak masak
2 sudu besar marjerin
2 sudu susu pekat
1 sudu teh soda bikarbonat
1 ½ cawan tepung gandum

Cara Membuatnya :

1. Gula dihanguskan kemudian dicampurkan dengan air. Sejukkan.

2. Di dalam blender masukkan telur, susu, minyak dan marjerin. Kisar selama 3 minit.

3. Masukkan gula yang telah disejukkan tadi bersama-sama soda bikarbonat dan dikisar lagi.

4. Akhir sekali, masukkan tepung dan dikisar lagi sehingga sebati.

5. Kukus adunan tadi di dalam loyang yang telah disapu dengan minyak masak selama 45 minit. Boleh juga menggunakan acuan mangkuk plastik.

6. Sekiranya adunan nampak cair, boleh tambahkan sedikit tepung agar apam tadi tidak mendap dan basah di bahagian bawahnya.

Selasa, 31 Julai 2012

Agar-agar Koko

Agar-agar Koko
Agar-agar Koko

Bahan-bahan :

24 gram agar-agar
2 sudu serbuk koko
½ cawan susu cair
5 sudu susu pekat
5 cawan air
Gula secukup rasa 

Cara Membuatnya : 

Masak agar-agar bersama 5 cawan air sehingga agar-agar hancur. Kemudian, masukkan gula secukup rasa dan juga serbuk koko. Hendaklah dikacau agar serbuk koko tidak berketul.

Seterusnya, masukkan susu cair dan juga susu pekat. Tunggu hingga mendidih dan bolehlah dipadamkan api.

Tapis dahulu kemudian barulah dituang di dalam bekas. Sejukkan.
 

Khamis, 26 Julai 2012

Agar-agar Santan Ros

Agar-agar Santan Ros

Bahan-bahan :

24 gram agar-agar (rendam sebentar)
Gula secukup rasa
3 ½ cawan air
2 cawan santan
1 biji telur
Pewarna ros
Secubit garam
2 helai daun pandan (disimpul)

Cara Membuatnya :

Rebus agar-agar bersama 3 ½ cawan air dan juga daun pandan sehingga mendidih dan agar-agar hancur. Masukkan gula secukup rasa.

Di dalam mangkuk, pukul sederhana telur, santan, pewarna ros, garam dan kacau sebati. Tapis dan masukkan dalam periuk berisi agar-agar tadi secara perlahan-lahan.

Biarkan agar-agar mendidih beberapa minit lagi (jangan kacau). Tutup api.

Tuangkan agar-agar ke dalam mangkuk atau acuan. Sejukkan hingga keras. Sedia untuk dihidang.
 

Jumaat, 20 Julai 2012

Kek Batik Milo ~Suhana~

Kek Batik Milo

Bahan-bahan :

600 gram roti marie (dipatah 4)
250 gram mentega atau buttercup
200 gram milo
6 biji telur (pukul sedikit)
½ tin susu pekat manis

Cara Membuatnya :

Panaskan mentega sehingga cair di dalam kuali. Kemudian, masukkan milo, telur dan susu.

Kacau hingga agak pekat. Tutup api. Masukkan roti marie dan gaulkan sehingga sebati kesemuanya. Jangan kacau terlalu kuat hingga menyebabkan roti marie hancur.

Tuangkan ke dalam loyang yang telah disapu permukaan loyangnya dengan sedikit mentega.

Tekan dengan padat dan rata perlahan-lahan.

Masukkan dalam peti sejuk lebih kurang 1-2 jam. Bila hendak dimakan, keluarkan lebih kurang setengah jam, barulah lembut untuk dipotong. Sedia untuk dihidang.

Selasa, 17 Julai 2012

Jelly Kelapa

Jelly Kelapa

Bahan-bahan :

20 gram agar-agar
3 biji kelapa muda (diambil isi dan airnya)
Gula secukup rasa

Cara Membuatnya :

1. Masak agar-agar bersama 3 cawan air. Masak sehingga agar-agar hancur. Kemudian masukkan gula.

2. Seterusnya, masukkan 6 cawan air kelapa muda. Masak sehingga mendidih dan masukkan isi kelapa. Padamkan api.

3. Biarkan sejuk sedikit dan bolehlah dimasukkan ke dalam bekas yang disukai. 

4. Sejukkan dalam peti ais dan barulah boleh dimakan.

Nota : Jika anda mempunyai lebihan air kelapa muda, boleh juga menggantikan air biasa dengan air kelapa muda ketika memasak agar-agar. Jelly kelapa anda akan berasa lebih sedap dan keenakan kelapanya lebih terasa.

Isnin, 9 Julai 2012

Puding Jagung

Puding Jagung
Puding Jagung
Puding Jagung Berkrim

Bahan-bahan :

1 tin jagung
1 cawan tepung jagung
½ cawan tepung kastard
1 cawan gula
1 biji kelapa (jadikan 7 ½ cawan santan)
Garam
Dua helai daun pandan (disimpul)
Sedikit garam

Cara Memasaknya :

Campurkan tepung jagung, tepung kastard, gula dan garam di dalam periuk. Masukkan santan sedikit demi sedikit di dalam campuran tersebut.

Jika suka, mesin  setengah tin jagung dan setengah lagi dibiarkan.

Masukkan jagung yang dimesin dan tidak dimesin serta daun pandan di dalam adunan.

Kacau di atas api sehingga pekat.

Adunan hendaklah sentiasa dikacau agar tidak hangit dan melekat.

Setelah masak, masuk adunan dalam acuan dan disejukkan.

Khamis, 5 Julai 2012

Agar-agar Milo

Agar-agar Milo

Bahan-bahan :

24 gram agar-agar
4 ½ cawan air
1 cawan susu cair
Milo
Gula secukup rasa
2 helai daun pandan (disimpul)

Cara Menyediakan :

1. Masak agar-agar bersama 4 ½ cawan air sehingga agar-agar hancur.

2. Masukkan gula secukup rasa dan juga milo.

3. Seterusnya masukkan susu cair dan juga daun pandan. 

4. Tunggu hingga mendidih. Kemudian, bolehlah dituang di dalam bekas. Sejukkan.