Isnin, 22 April 2013

Ayam Masak Tomato


Bahan-bahan :


1 ekor ayam
2/3 piring cili kering yang dipotong
1 ulas bawang besar (dimesin)
3 ulas bawang merah (dimesin)
3 ulas bawang putih (dimesin)
Halia (dimesin)
2 ulas bawang merah (dihiris)
1 tangkai daun kari
2 kuntum bunga lawang
2 kuntum bunga cengkih
1 batang kulit kayu manis
4 biji buah tomato
Sedikit sos cili
Sedikit serbuk jintan manis
Garam dan gula secukup rasa
Daun sup dan daun bawang


Cara Membuatnya :


1. Satu ekor ayam dibersih dan dipotong kemudian digoreng hingga separuh masak.

2. Mesin bawang besar, bawang merah, buah tomato, cili kering, bawang putih dan halia. Kisar hingga halus.

3. Panaskan sedikit minyak di dalam kuali dan tumis bawang merah yang dihiris bersama daun kari, bunga cengkih, bunga lawang dan kulit kayu manis. Tumis hingga wangi dan kekuningan.

4. Seterusnya, masukkan bahan yang telah dikisar bersama-sama ayam yang dimasak tadi. Biarkan hingga pecah minyak.

5. Masukkan gula dan garam secukup rasa bersama serbuk jintan manis. Masukkan juga sos cili secukupnya.

6. Langkah seterusnya ialah dengan memasukkan air yang mencukupi untuk dijadikan kuah.

7. Tunggu hingga mendidih dan bolehlah ditutup api. Taburkan hirisan daun sup dan daun bawang. Sedia untuk dihidang bersama nasi.

Nasi Tomato Ain


Bahan-bahan :


5 cawan beras
2 ulas bawang merah (dihiris)
2 kuntum bunga lawang
2 kuntum bunga cengkih
2 batang kulit kayu manis
1 tangkai daun kari
Sedikit minyak sapi untuk menumis
100 gram tomato puri (1 tin kecil)
Garam secukup rasa
Lobak merah (dihiris memanjang)
Sedikit kismis (jika ada)
2 sudu besar susu pekat manis atau secukup rasa
Daun sup dan daun bawang


Cara Membuatnya :


1. Goreng bawang merah bersama bunga lawang, bunga cengkih, kulit kayu manis dan daun kari dengan menggunakan minyak sapi hingga kuning.

2. Masukkan tomato puri dan juga air secukupnya. Masukkan juga garam secukup rasa. Biarkan mendidih.

3. Seterusnya, masukkan beras dan juga susu pekat manis. Biarkan hingga hampir masak.

4. Apabila nasi sudah hampir masak, masukkan lobak merah dan juga kismis. Kacau hingga sebati.

5. Biarkan sehingga nasi betul-betul masak. Akhir sekali, boleh taburkan hirisan daun sup dan daun bawang agar lebih wangi dan menarik.

6. Sedia untuk dihidang.

Khamis, 11 April 2013

Karipap Gulung Kulit Popia


Bahan-bahan :


Kulit popia saiz 125mm x125mm
2 ulas bawang merah (dihiris)
1 kg ubi keledek (dipotong dadu)
4 sudu besar rempah kari daging
Garam secukup rasa
2 sudu besar gula
Isi ayam (dipotong dadu)
Sedikit minyak untuk menumis
1 tangkai daun kari
1 biji putih telur (untuk gamkan kulit popia)


Cara Membuatnya :


Panaskan sedikit minyak di dalam kuali, masukkan bawang merah yang dihiris bersama daun kari. Tumis hingga naik bau.

Kemudian, masukkan rempah kari daging dan juga sedikit air. 

Seterusnya, masukkan ayam dan juga ubi keledek. Tambahkan gula dan garam secukup rasa.

Tutup kuali tersebut dengan tudung periuk agar ubi tersebut empuk dengan baik. Hendaklah  dikacau selalu agar masak sekata dan tidak hangit.

Tutup api apabila ubi telah empuk dan airnya sudah kering.

Ambil kulit popia dan letakkan inti karipap di atasnya. Gulung kulit popia tersebut seperti membuat kuih popia. Gamkan dengan putih telur pada hujung kulit popia.

Apabila semuanya sudah siap, goreng hingga masak.

Sedia untuk dihidang.