Selasa, 23 Julai 2013

Petua Hilangkan Bau Nasi Hangit

Nasi Putih

Nasi yang anda masak berbau hangit? Jangan risau, untuk menghilangkan bau tidak enak ini anda hanya perlu ambil beberapa biji cili padi. Cucukkan hujungnya ke permukaan nasi tersebut dan tutup. Biarkan seketika hingga cili padi tadi layu dan kelihatan agak lebam barulah bau hangit itu akan hilang. Selepas itu nasi itu bolehlah dimakan. Selamat mencuba.

Sumber : Mingguan Wanita
 

Petua Tempeyek Lebih Enak

Tempeyek 

Untuk menghasilkan tempeyek yang lebih enak, bukanlah sesukar mana. Tapi pastikan kacang kering (kecuali kacang tanah) yang anda gunakan direndam semalaman dan ditoskan airnya terlebih dahulu sebelum membancuh adunan untuk membuat tempeyek. Hal ini bagi memastikan kacang tersebut cukup empuk dan mudah dikunyah kelak. Jika anda inginkan aroma tempeyek yang lebih segar, tambahkan beberapa helai daun limau purut yang telah dihiris melintang halus. 

Ketika menggoreng pula, gorengkan tempeyek di atas api yang sederhana saja. Jangan tuang adunan terlalu banyak hingga ia jadi tebal dan pastikan ia cukup garing ketika dibalikkan. Angkat setelah ia berwarna coklat rata. Kemudian toskan di atas kertas penyerap minyak. Simpan dalam bekas kedap udara.

Sumber : Mingguan Wanita

Petua Elakkan Roti Tidak Naik

Setiap kali membuat roti, semestinya kita inginkan roti yang naik dengan cantik. Bagaimanapun ada kalanya roti yang dibuat itu tidak naik dan ini mencacatkan rupanya. Masalah ini biasa berlaku apabila adunan dibuat daripada tepung yang tidak berprotein tinggi. Oleh itu elakkan dari membeli tepung timbang kilo dan pilih tepung yang telah siap dibungkus dalam paket khas. Selain daripada itu, elakkan penggunaan garam secara berlebihan. Sebelum dibakar, pastikan doh telah naik dua kali ganda dari saiz asal. Insya-Allah anda tidak akan kecewa dengan hasilnya.

Sumber : Mingguan Wanita
 

Isnin, 22 Julai 2013

Petua Menyimpan Gula

Gula

Ada kalanya gula yang kita simpan akan cair sedikit ataupun berair. Untuk mengelakkan perkara ini daripada berlaku, masukkan sekeping roti ke dalam balang gula. Roti ini akan dapat menyerap lembapan dalam balang dan dapat mengelakkan gula daripada cair.

Sementara itu untuk mengelakkan gula daripada dimasuki semut, selain daripada memasukkan beberapa tangkai bunga cengkih, anda boleh juga melilit leher botol dengan tali guni yang telah disapukan dengan minyak kelapa.

Sumber : Mingguan Wanita
 

Petua Sayur-sayuran Tahan Lebih Lama

Sayur-sayuran 

Sayur-sayuran biasanya tidak tahan lama. Tapi jika anda ingin mengelakkan sayuran dari menjadi busuk dan berlendir, bolehlah mencuba petua berikut. Setiap kali selepas membeli sayur-sayuran, cucikannya dengan air terlebih dahulu sehingga bersih. Toskan airnya. Kemudian bungkus dengan surat khabar. Simpankannya di dalam peti sejuk seperti biasa. Insya-Allah sayur-sayuran tersebut akan tahan sehingga dua tiga hari berikutnya dan masih segar apabila ingin dimasak.

Sumber : Mingguan Wanita
 

Petua Elakkan Kutu Beras

Beras 

Mungkin anda biasa mengalami masalah kutu beras yang sungguh merungsingkan. Maklumlah, kerana adanya kutu beras ini, kerja-kerja mencuci beras akan menjadi lebih sukar. Malah ia akan mengambil masa yang lebih lama dari sepatutnya. Pun begitu, jangan bimbang petua berikut mungkin boleh membantu. Untuk mengelakkan kehadiran kutu beras di dalam beras yang anda simpan, ambilkan lima atau enam tangkai cili kering dan masukkannya ke dalam bekas menyimpan beras. Gaulkan cili kering tadi dengan beras dan biarkannya di dalam bekas tersebut selagi anda menyimpan beras di dalamnya. Insya-Allah akan berpuas hati dengan hasilnya.

Sumber : Mingguan Wanita