Khamis, 21 Julai 2011

Cucur Durian

Cucur Durian

Bahan-bahan : 

2 cawan tepung gandum
5 ulas durian
Air suam
Gula
Garam
2 sudu makan kelapa parut
Minyak masak (untuk menggoreng)

Cara Membuatnya : 

Kacau isi durian bersama air suam. Masukkan garam dan gula. Setelah hancur, masukkan tepung gandum dan kelapa parut sedikit demi sedikit.

Kacau dengan lembut supaya cucur tidak menjadi keras. Panaskan minyak di dalam kuali.

Goreng adunan tadi dengan menggunakan sudu satu persatu. Masak hingga warna keemasan dengan api yang sederhana kecil dan angkat.

Sedia untuk dihidang.

Kuih Siput

Kuih Siput


Bahan-bahan :

1 kg tepung gandum
8 sudu besar marjerin (dipanaskan)
4 sudu besar rempah kari daging
2 sudu besar gula
Garam secukup rasa
1 biji telur
Minyak untuk menggoreng


Cara Membuatnya : 

Di dalam mangkuk, masukkan serbuk kari dan telur. Kacau sebati dan ketepikan.

Di dalam bekas yang lain, masukkan tepung gandum, gula dan garam. Kemudian, masukkan marjerin yang telah dipanaskan. Gaul sekata.

Seterusnya, masukkan pula serbuk kari dan telur tadi. Gaul lagi.

Masukkan air secukupnya dan uli hingga menjadi doh yang baik. Bolehlah dibentuk dengan mengunakan acuan kuih siput yang sesuai. Goreng hingga garing.

Kuih Ketayap

Kuih Ketayap

Bahan Untuk Kulit : 

2 cawan tepung gandum
2 cawan air + jus pandan
½ sudu teh garam

Bahan Untuk Inti : 

1 biji kelapa parut
3 sudu gula merah
1 sudu gula putih
1 sudu tepung ubi

Cara Membuat Kulit : 

Ayak tepung gandum, masukkan garam dan air + jus pandan. Kacau perlahan-lahan hingga sebati dan tidak berketul.

Panaskan kuali, masukkan sedikit minyak dan diratakan ke seluruh kuali. Seterusnya, masukkan satu senduk adunan dan diratakan seluruh kuali. Buat senipis yang boleh.

Apabila telah masak, bolehlah diangkat.

Cara Membuat Inti : 

Gula merah dan gula putih dicairkan di atas api bersama sedikit air. Tapis campuran tersebut dan digaul bersama kelapa parut.

Kemudian, tepung ubi kayu dibancuh bersama sedikit air dan dimasukkan ke dalam kelapa parut.

Masak hingga kelapa kering. Hendaklah sentiasa dikacau agar tidak hangit.

Kemudian, inti ini bolehlah dibalut bersama kulit tepung tadi.