Jumaat, 14 Jun 2013

Agar-agar Permata Coklat Emulco


Bahan A :


14 gram agar-agar bertali
3 cawan air
Gula secukup rasa
Dua helai daun pandan diikat
Perisa dan pewarna coklat emulco


Bahan B :


30 gram agar-agar bertali
6 cawan air
1 cawan susu pekat manis
Dua helai daun pandan diikat
Gula secukup rasa


Cara Memasak Bahan A :


Rebus agar-agar bersama 3 cawan air hingga hancur. Masukkan juga daun pandan.

Setelah hancur, masukkan gula secukupnya dan juga sedikit coklat emulco. Tunggu hingga mendidih dan padamkan api.

Tuangkan agar-agar ke dalam bekas dan tunggu hingga agar-agar keras.

Apabila agar-agar telah keras. Potong agar-agar berbentuk dadu kecil-kecil. 

Masukkan agar-agar yang dipotong tadi ke dalam loyang. Langkah seterusnya ialah dengan memasak bahan B pula.


Cara Memasak Bahan B :


Masak agar-agar bersama 6 cawan air hingga hancur. Masukkan juga daun pandan agar lebih wangi.

Setelah itu, masukkan gula dan  susu. Tunggu hingga mendidih. Tutup api dan tuangkan agar-agar susu ke dalam bahan A iaitu agar-agar yang dipotong dadu tadi.

Tunggu hingga agar-agar keras. Jika ingin agar-agar lebih cepat keras masukkan ke dalam peti sejuk.

Kemudian bolehlah dipotong untuk dihidang.

Rabu, 12 Jun 2013

Popia Goreng



Bahan Untuk Inti :


Kulit popia
Tauge
Ubi sengkuang (dihiris memanjang)
Lobak merah (dihiris memanjang)
3 ulas bawang putih (dicincang halus)
Sebiji telur
Garam secukup rasa
Sedikit serbuk lada
Minyak (menumis)


Bahan Untuk Sos :


3 sudu besar cili yang sudah dikisar
Gula pasir (lebihkan)
Sedikit garam
2 ulas bawang putih (dicincang halus)
Minyak (menumis)


Cara Membuat Inti :


Panaskan sedikit minyak di dalam kuali dan tumis bawang putih hingga naik bau. Masukkan lobak merah dan ubi sengkuang.

Masukkan sedikit air dan garam secukup rasa.

Akhir sekali, masukkan tauge dan juga telur. Masak hingga sayuran lembut dan kering. Tutup api dan biarkan sejuk untuk seketika.

Kemudian bolehlah membentuk kuih popia dan goreng hingga garing.


Cara Membuat Sos :


Panaskan sedikit minyak di dalam kuali. Tumis bawang putih hingga naik bau.

Seterusnya, masukkan cili, gula dan garam. Tambahkan sedikit air agar cili dapat masak dengan baik.

Tunggu hingga betul-betul kering dan bolehlah dituang di atas popia yang telah digoreng tadi.

Ahad, 9 Jun 2013

Kerabu Umbut Kelapa


Bahan-bahan :


Umbut kelapa (dihiris nipis)
4 sudu besar cili kisar
3 sudu besar gula
3 sudu besar kerisik
3 sudu besar serbuk beras (beras digoreng tanpa minyak hingga kekuningan dan dikisar halus)
Air asam jawa
Ikan bilis (digoreng dan ditumbuk)
Garam secukup rasa


Cara Membuatnya :


Umbut kelapa dihiris nipis dan direbus hingga lembut. Masukkan juga sedikit garam. Toskan airnya.

Masukkan cili kisar di dalam bekas. Campurkan juga dengan kerisik, air asam jawa, serbuk beras, ikan bilis, gula dan garam secukup rasa. Kacau hingga sebati.

Setelah itu, masukkan umbut kelapa yang telah ditoskan airnya. Gaulkan kesemuanya hingga sekata.

Sedia untuk dihidang.

Khamis, 6 Jun 2013

Cucur Ubi Kayu Pedas


Bahan-bahan :


2 cawan ubi kayu yang diparut dan ditos airnya
1 sudu teh jintan manis
½ sudu teh jintan putih
2 sudu besar udang kering (ditumbuk)
Cili kering (dipotong kecil)
1 biji bawang besar (dipotong dadu)
1 sudu besar tepung gandum
Daun kari (dipotong kecil)
Garam secukup rasa
Sedikit gula
Serbuk kunyit 


Cara Membuatnya :


1. Bahan-bahan di atas dicampurkan ke dalam ubi kayu yang telah diparut.

2. Masukkan garam dan gula secukup rasa dan sedikit serbuk kunyit agar cucur nampak lebih cantik dengan warna kekuningan. Gaulkan kesemua bahan hingga sebati.

3. Kemudian, ambil sedikit adunan dan digoreng dalam minyak yang telah dipanaskan.

4. Goreng hingga masak dan garing. Sedia untuk dihidang.

Selasa, 28 Mei 2013

Talam Ubi Kayu (Gula Merah)



Bahan Untuk Lapisan Bawah :


800 gram ubi kayu (diparut dan ditoskan airnya)
Sedikit garam
1 ½ cawan santan @ secukupnya


Bahan Untuk Lapisan Atas :


1 ½ cawan tepung beras
1 cawan gula merah
2 ¾ cawan santan
3 sudu besar gula pasir
Sedikit garam


Cara Membuat Lapisan Bawah :


1. Campurkan sedikit garam di dalam santan. Kacau hingga garam larut.

2. Seterusnya, masukkan air santan tadi ke dalam ubi kayu yang diparut. 

3. Sapukan loyang dengan sedikit minyak dan masukkan ubi.

4. Kukus hingga masak.


Cara Membuat Lapisan Atas :


1. Masak gula merah bersama 1 cawan santan sehingga gula merah larut. Sejukkan.

2. Bancuh tepung beras bersama santan dan juga air gula merah. Masukkan juga gula pasir dan sedikit garam. Kacau hingga sebati.

3. Apabila bahagian bawah sudah masak, tuangkan adunan ini. Kukus lagi sehingga masak.

4. Sejukkan dan kemudian bolehlah dipotong. Sedia untuk dihidang.