Selasa, 16 Julai 2013

Petua Mengharumkan Dapur

Ruang Dapur

Masalah dapur berbau kurang menyenangkan memang biasa dialami setiap orang. Masalah ini seringkali berlaku terutamanya selepas selesai menyiang ikan, daging dan ayam. Bagi mengatasi masalah ini, rebuskan beberapa keping kulit kayu manis bersama dengan bunga cengkih dan cuka biasa. Gunakan air rebusan itu untuk menyembur atau mengelap meja, cabinet, jubin dan singki di dapur anda. Insya-Allah bau hanyir dan bau-bau kurang menyenangkan akan hilang.

Sumber : Mingguan Wanita 

Khamis, 11 Julai 2013

Pelbagai Petua Berkaitan Kentang

Ubi Kentang

1. Untuk membakar kentang dengan lebih cepat, terlebih dulu masukkan kentang tersebut di dalam air garam selama 15 minit. Selepas itu barulah dibakar seperti biasa.

2. Usah simpan kentang bersama bawang. Kentang akan menjadi busuk dengan lebih cepat jika ditempatkan dalam satu bekas dengan bawang.

3. Kulit kentang jangan dibuang. Ia boleh digunakan untuk membersihkan cermin tingkap. Kemudian bilas dengan air biasa. Nah, tentu anda terkejut dengan hasilnya nanti.

Sumber : Mingguan Wanita
 

Petua Memotong Buah Kering Lebih Mudah

Sekiranya anda memang gemar menggunakan buah-buahan kering dalam makanan dan sebagainya, bolehlah mencuba petua ini. Bagi memudahkan kerja-kerja memotong buah kering ini, mula-mula masukkannya di dalam bahagian dingin beku (dalam peti sejuk). Biarkan selama setengah jam. Kemudian keluarkan dari peti sejuk. Semasa memotongnya, gunakan pisau yang telah direndam seketika di dalam air panas. Tentu tidak ada masalah. Selamat mencuba!

Sumber : Mingguan Wanita
 

Petua Untuk Membersihkan Kuali Hitam

Kuali

Petua ini sesuai digunakan untuk membersihkan kuali atau periuk yang digunakan atas dapur kayu. Ambil kertas pasir halus dan sabun pencuci pinggan mangkuk yang biasa anda gunakan. Kemudian gunakan kedua-duanya untuk menggosok kuali atau periuk hitam tadi. Insya-Allah, walau macam mana hitam sekalipun periuk tersebut, hasilnya pasti akan kelihatan seperti baru. Cubalah jika ingin lihat hasilnya.

Sumber : Mingguan Wanita

Petua Untuk Peti Sejuk


Peti Sejuk

Sering kali kita berdepan dengan masalah untuk membersihkan air batu di dalam peti sejuk. Kadang kala ia terpaksa dibersihkan beberapa kali dalam seminggu membuatkan kita rasa bosan. Tapi tidak mengapa, mungkin selepas ini kita boleh gunakan petua ini. Untuk mengelakkan air dari membeku di dalam peti sejuk, gosokkkan garam halus ke bahagian dalamnya. Insya-Allah hasilnya akan dapat dilihat selepas itu.

Sumber : Mingguan Wanita
 

Petua Kacang Hijau Cepat Empuk

Kacang Hijau

Agar kacang hijau lebih cepat empuk dan memudahkan kerja memasak ibu-ibu bekerjaya, pagi-pagi sebelum keluar bekerja bersihkan dahulu kacang hijau mengikut jumlah yang diperlukan. Cuci dengan air hingga bersih. Kemudian rendam dengan air paip sehingga ia tenggelam keseluruhannya. Kalau boleh rendamkan di dalam periuk yang akan digunakan untuk memasak bubur kacang nanti. Pulang dari kerja kacang hijau itu bolehlah terus dimasak menjadi bubur. Pasti kerja-kerja memasak bubur kacang akan lebih mudah dan cepat.

Sumber : Mingguan Wanita