Selasa, 23 Julai 2013

Petua Tempeyek Lebih Enak

Tempeyek 

Untuk menghasilkan tempeyek yang lebih enak, bukanlah sesukar mana. Tapi pastikan kacang kering (kecuali kacang tanah) yang anda gunakan direndam semalaman dan ditoskan airnya terlebih dahulu sebelum membancuh adunan untuk membuat tempeyek. Hal ini bagi memastikan kacang tersebut cukup empuk dan mudah dikunyah kelak. Jika anda inginkan aroma tempeyek yang lebih segar, tambahkan beberapa helai daun limau purut yang telah dihiris melintang halus. 

Ketika menggoreng pula, gorengkan tempeyek di atas api yang sederhana saja. Jangan tuang adunan terlalu banyak hingga ia jadi tebal dan pastikan ia cukup garing ketika dibalikkan. Angkat setelah ia berwarna coklat rata. Kemudian toskan di atas kertas penyerap minyak. Simpan dalam bekas kedap udara.

Sumber : Mingguan Wanita

Petua Elakkan Roti Tidak Naik

Setiap kali membuat roti, semestinya kita inginkan roti yang naik dengan cantik. Bagaimanapun ada kalanya roti yang dibuat itu tidak naik dan ini mencacatkan rupanya. Masalah ini biasa berlaku apabila adunan dibuat daripada tepung yang tidak berprotein tinggi. Oleh itu elakkan dari membeli tepung timbang kilo dan pilih tepung yang telah siap dibungkus dalam paket khas. Selain daripada itu, elakkan penggunaan garam secara berlebihan. Sebelum dibakar, pastikan doh telah naik dua kali ganda dari saiz asal. Insya-Allah anda tidak akan kecewa dengan hasilnya.

Sumber : Mingguan Wanita
 

Isnin, 22 Julai 2013

Petua Menyimpan Gula

Gula

Ada kalanya gula yang kita simpan akan cair sedikit ataupun berair. Untuk mengelakkan perkara ini daripada berlaku, masukkan sekeping roti ke dalam balang gula. Roti ini akan dapat menyerap lembapan dalam balang dan dapat mengelakkan gula daripada cair.

Sementara itu untuk mengelakkan gula daripada dimasuki semut, selain daripada memasukkan beberapa tangkai bunga cengkih, anda boleh juga melilit leher botol dengan tali guni yang telah disapukan dengan minyak kelapa.

Sumber : Mingguan Wanita