Isnin, 3 November 2014

Petua Menghilangkan Rasa Pahit pada Bunga Betik

bunga betik

Alangkah sedapnya jika bunga betik dimasak kerabu. Tetapi jika ianya terlalu pahit pasti mengundang rasa kurang enak. Oleh itu, ada cara untuk menghilangkan rasa pahit pada bunga betik. Caranya ialah dengan memasukkan beberapa helai daun jambu batu bersama bunga betik ketika merebus. Apabila bunga betik telah lembut, baru keluarkan daun jambu batu tersebut dan toskan airnya. Anda boleh mengambil langkah seterusnya dengan memasak menu yang digemari.

Petua Melembutkan Cucur Bawang

cucur bawang

Mungkin ada yang tertanya-tanya cara mendapatkan cucur yang lembut di dalam tetapi garing diluar tanpa memasukkan sebarang serbuk penaik. Caranya ialah masukkan sedikit demi sedikit air panas ke dalam adunan tepung yang telah dicampur sayur-sayuran seperti lobak merah, udang atau ikan bilis dan bawang yang telah dimayang halus. 

Gaul adunan hingga rata. Pastikan bancuhan ketika itu agak keras. Selepas itu campurkan sedikit tepung gandum, sedikit garam dan air putih (biasa) sedikit demi sedikit hingga adunan lembut. 

Tujuan mencampurkan sedikit tepung dan air putih adalah untuk mempercepatkan menggoreng. Cucur akan menjadi garing di luar tetapi lembut di dalam. Jika kita menggunakan air panas semata-mata, cucur yang digoreng akan menjadi lebih berminyak.

Sumber : Majalah Anis Februari 2006

Isnin, 27 Oktober 2014

Step by Step Cara Membuat Kuih Denderam

Kuih denderam

Kuih denderam atau juga dikenali sebagai kuih peniaram atau kuih telinga keling atau kuih telinga hindu, disebabkan warnanya yang gelap. Ia merupakan sejenis kuih manis tradisional yang sedap rasanya. 

Resipi Kuih Denderam

Oleh : Sajian Hati


Bahan-bahan :
700 gram gula merah
200 gram gula putih
1 kg tepung beras
2 cawan air
1 cawan tepung gandum

Cara Membuatnya :


Campurkan gula merah dan gula putih di dalam periuk. Masak gula merah dan gula putih bersama 2 cawan air sehingga gula larut dan mendidih. Pastikan ia mendidih kerana kuih ini memerlukan air gula yang panas ketika membancuhnya.


Ayak tepung gandum dan tepung beras. Kemudian, masukkan gula yang dimasak tadi ke dalam tepung dengan menapis gula tersebut terlebih dahulu menggunakan penapis. Jika masih keras dan tidak boleh dikacau, boleh tambahkan sedikit air panas.


Kacau hingga sebati sehingga membentuk doh seperti gambar di atas. Setelah itu, simpan doh selama semalaman untuk menyejukkannya.


Keesokannya, uli doh tersebut dengan menggunakan tangan. Uli hingga rata seperti di dalam gambar.


Ambil plastik besar dan sapukan minyak di permukaan plastik tersebut agar doh tidak melekat. Canaikan doh di atas plastik.


 Kemudian, tekan dengan menggunakan acuan kuih denderam.


Jika tiada acuan tersebut, boleh juga menggunakan objek bulat dan ditekan. Seterusnya, tebukkan lubang di tengahnya.


Panaskan minyak dan goreng sehingga masak. Biarkan ia sejuk dan masuk angin agar kuih menjadi lembut. Sedap juga dimakan ketika masih panas. Selamat mencuba :)