Memaparkan catatan dengan label Masakan Berkuah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Masakan Berkuah. Papar semua catatan

Sabtu, 12 Januari 2013

Mee Tom Yam



Bahan-bahan :

1 bungkus mee kuning (dicelur dengan air panas)
1 bungkus perencah tom yam
Ayam (dipotong kecil)
2 ulas bawang besar (dimesin)
1 ulas bawang besar (dipotong empat)
10 batang cili padi (dimesin)
Kobis (dihiris)
Sonak jagung (dihiris)
2 batang lobak merah (dipotong)
2 biji buah tomato (dipotong 4 atau 6)
8 helai daun limau purut (dikoyak-koyak)
2 batang serai (diketuk sedikit)
Garam secukup rasa
Sedikit air asam jawa
Sedikit minyak


Cara Membuatnya :

1. Mesin dua ulas bawang besar bersama cili padi hingga hancur.

2. Panaskan sedikit minyak, tumis bahan yang dikisar tadi hingga naik bau. Kemudian, masukkan perencah tom yam.

3. Seterusnya, masukkan ayam, serai, garam dan juga daun limau purut. Masak hingga ayam lembut.

4. Masukkan air secukupnya dan juga lobak merah, sonak jagung, bawang besar dan kobis yang telah dipotong.

5. Masukkan sedikit air asam jawa dan buah tomato.

6. Masak hingga sayur lobak merah dan sonak jagung menjadi lembut serta mendidih.

7. Sedia untuk dihidang. Makan bersama mee kuning yang telah dicelur.

Sabtu, 5 Januari 2013

Mee Kuah


Bahan-bahan :

3 bungkus mee kuning (dicelur dengan air panas)
1 ekor ayam (dipotong kecil)
1 piring cili kering yang dipotong
4 ulas bawang merah (dimesin)
2 ulas bawang merah (dihiris)
4 ketul ubi keledek (direbus dan diblender hingga hancur)
Air asam jawa
Sawi (dipotong)
3 biji buah tomato (dipotong 4)
Sos cili
Gula dan garam secukup rasa


Cara Membuatnya :

Rebus cili kering hingga mendidih. Tutup api dan basuh cili kering tersebut. Mesin cili bersama 4 ulas bawang merah hinggga hancur.

Panaskan sedikit minyak, tumis bawang merah yang dihiris hingga kuning dan masukkan bahan yang dikisar tadi.

Seterusnya, masukkan ayam dan garam. Tunggu hingga ayam masak.

Setelah itu, masukkan ubi keledek yang dimesin dan sedikit air asam jawa. Masukkan juga air yang secukupnya.

Masukkan sayur sawi dan buah tomato. Tambahkan sedikit sos cili dan gula secukup rasa. Tunggu hingga sayur lembut dan kuah telah mendidih.

Tutup api dan bolehlah dihidang bersama mee kuning.


Nota : Untuk lebih enak, boleh dihidang bersama telur, bawang goreng dan tauhu mengikut citarasa sendiri. Sukatan untuk resepi ini boleh dimakan lebih daripada 10 orang.

Isnin, 5 November 2012

Bihun Sup Daging

Bihun Sup Daging

Bahan-bahan :

Bihun
Daging (dipotong kecil)
1 bungkus sup bunjut
Perencah sup
1 sudu kecil rempah kurma
3 ulas bawang merah (ditumbuk)
3 ulas bawang putih (ditumbuk)
Halia (ditumbuk)
Daun sup dan daun bawang (dihiris)
Garam secukup rasa
1 keping asam keping
2 helai daun nangka
Ubi kentang (dipotong)
Air secukupnya


Cara Membuatnya :

1. Tumis bawang merah, bawang putih dan halia yang ditumbuk halus sehingga kuning dan naik bau.

2. Masukkan perencah sup, rempah kurma dan sedikit air. Seterusnya masukkan daging, sup bunjut, asam keping dan daun nangka. Masak dengan api perlahan agar daging tidak masak mengejut.

3. Apabila daging sudah empuk, masukkan garam secukup rasa. Biarkan seketika.

4. Seterusnya, masukkan air secukupnya bersama ubi kentang. Tunggu hingga mendidih dan ubi kentang empuk. Tutup api dan taburkan daun sup dan daun bawang.

5. Sedia untuk dihidang.

Rabu, 27 Jun 2012

Bihun Laksa Ikan Haruan

Bihun Laksa Ikan Haruan
Bihun Laksa Ikan Haruan
Ikan Haruan
Ikan Haruan
Bahan-bahan :

2 bungkus bihun laksa (direndam)
1 kg ikan haruan (direbus)
1 piring cili kering (dipotong dan direbus seketika)
6 ulas bawang merah
1 batang serai (diketuk)
Sedikit belacan
Beberapa keping asam gelugur
Garam secukup rasa
Daun kesum


Cara Memasak Kuah :

1. Mesin cabai kering, belacan dan bawang hingga hancur.

2. Mesin ikan yang telah dibuang tulang sehingga lumat.

3. Campur kedua-dua bahan yang dikisar tadi ke dalam periuk. Tambahkan air jika terlalu pekat.

4. Masukkan asam gelugur, daun kesum, serai dan garam. Letakkan di atas api.

5. Tunggu hingga mendidih, kemudian bolehlah dihidang bersama laksa.


Cara Memasak Bihun Laksa :

Rebus bihun laksa dan masukkan sedikit garam di dalamnya. Tunggu hingga bihun laksa lembut. Basuh laksa dan toskan airnya. Sedia untuk dimakan.

Ahad, 24 April 2011

Laksa

Laksa

Bahan Untuk Laksa :


2 bungkus laksa (direndam)
3 keping asam keping atau asam gelugur
Sedikit garam


Bahan Untuk Kuah Laksa : 


1 kilo ikan sardin (direbus)
10 keping asam gelugur
1 piring cili kering (dipotong dan dikisar halus)
1 ulas bawang besar (dikisar)
5 ulas bawang merah (dikisar)
Belacan (dikisar)
Garam secukup rasa
1 kuntum bunga kantan
Daun kesum


Bahan Hiasan atau Tambahan :


Cili hidup (dihiris nipis)
Telur (direbus)
Daun salad (dihiris)
Buah limau nipis
Timun
Bawang besar (dihiris nipis)


Penyediaan Laksa :


1. Basuh laksa hingga bersih kemudian masukkan ke dalam periuk bersama 3 keping asam gelugur dan juga garam.

2. Masukkan air secukupnya dan rebus hingga laksa lembut.

3. Apabila laksa telah masak atau lembut, basuh laksa sekali lagi toskan airnya. 

4. Hidangkan bersama hirisan cili merah, timun, bawang, limau dan juga daun salad.


Penyediaan Kuah Laksa :


1. Kisar cili kering, belacan, bawang besar dan bawang merah hingga halus.

2. Rebus dahulu ikan yang telah dibersihkan. Kemudian asingkan tulang dan isinya. Kisar isi ikan hingga hancur.

3. Masukkan kedua-dua bahan yang dikisar tadi ke dalam periuk. Tambahkan air jika terlalu pekat.

4. Rebus bahan tadi. Masukkan juga asam gelugur, bunga kantan, daun kesum dan garam secukup rasa.

5. Tunggu hingga mendidih, kemudian bolehlah dihidang bersama laksa.