Selasa, 18 November 2014

Serimuka Gula Merah

Seri Muka Gula Merah

Seri Muka Gula Merah

Bahan A (Lapisan Bawah) :

2 cawan beras pulut
2 cawan santan cair
½ sudu teh garam


Bahan B (Lapisan Atas) :

2 ½ cawan santan pekat
½ cawan gula merah
½ cawan gula pasir
½ cawan air
½ cawan tepung gandum
1 cawan tepung beras
1 biji telur
½ sudu teh garam


Cara Membuat Lapisan Bawah :

1. Basuh beras pulut dan rendamkan selama beberapa jam sebelum dimasak.

2. Masukkan bahan A ke dalam loyang dan kukuskan sehingga masak.

3. Lapikkan plastik ke dalam loyang bulat ataupun empat segi.

4. Tekan pulut yang sudah dimasak tadi supaya mampat dan cantik.


Cara Membuat Lapisan Atas :

1. Masak gula merah dan gula putih bersama ½ cawan air sehingga gula larut.

2. Kemudian tapiskan untuk membuang bendasing yang terdapat dalam gula merah.

3. Campurkan tepung gandum, tepung beras, telur dan garam dalam satu bekas.

4. Gaul dan kemudian masukkan gula yang ditapis tadi bersama santan pekat.

5. Kacau hingga semuanya sebati.

6. Masukkan di dalam kuali tidak lekat dan panaskan sekadar suam-suam kuku.

7. Tuangkan perlahan-lahan atas pulut tadi. Kukus selama 30 minit.

8. Sejukkan dahulu  dan kemudian baru dipotong. Sedia untuk dihidangkan.

Sabtu, 15 November 2014

Biskut Jejari Roti Coklat

Biskut Jejari Roti Coklat

Biskut Jejari Roti Coklat

Bahan-bahan :

Roti Sandwich (dipotong)
Coklat masakan
Nestum


Cara Membuatnya :

1. Gunakan gunting atau pisau, potong bahagian tepi roti. Kemudian, potong panjang-panjang dan potong dua pula.

2. Susun rapat-rapat roti di atas dulang kerana ia tidak akan melekat. Tetapi jangan susun terlalu berlapis untuk mengelak masak tidak sekata.

3. Bakar pada suhu 120 oC selama 15 minit sehingga kekuningan. Pastikan bahawa roti betul-betul rangup.

4. Cairkan coklat masakan dengan cara masukkan coklat dalam mangkuk kemudian letak dalam periuk berisi air (double boiler).

5. Masak hingga coklat masakan menjadi cair.

6. Masukkan roti yang telah dibakar. Ratakan coklat kesemua permukaan roti.

7. Angkat dan salutkan dengan Nestum.

8. Biarkan coklat keras dan boleh disimpan dalam bekas kedap udara.

Jumaat, 7 November 2014

Dadih Jagung Coffeemate

Dadih Jagung Coffeemate

Dadih Jagung Coffeemate

Bahan-bahan :

10 gram agar-agar serbuk (cap burung layang-layang)
14 cawan air @ 4200 ml
1 tin susu cair (400 ml)
200 gram coffeemate
1 ¾ cawan gula pasir  (mengikut citarasa)
Perisa jagung @ Bes minuman perisa jagung
1 keping asam gelugur
2 tongkol jagung (dihiris dan direbus)


Cara Membuatnya :

1. Didihkan air. Masukkan serbuk agar-agar dan pastikan agar-agar larut sepenuhnya.

2. Masukkan gula dan asam keping. Kacau hingga gula hancur.

3. Masukkan susu cair. Biarkan mendidih sebentar.

4. Masukkan coffeemate sedikit demi sedikit. Pastikan tidak berketul-ketul.

5. Seterusnya, masukkan bes minuman perisa jagung.

6. Apabila telah mendidih, tutup api dan keluarkan asam keping.

7. Masukkan jagung yang telah direbus ke dalam bekas dan tuangkan dadih.

8. Biarkan ia sejuk sepenuhnya dan sedia untuk dinikmati.

Rabu, 5 November 2014

Kek Bes Minuman Oren



Bahan-bahan :

1 cawan buttercup
1 ½ cawan gula halus
6 biji telur
2 ½ cawan tepung naik sendiri
¼ cawan bes minuman oren @ oren sunquick
Sedikit pewarna oren


Cara Membuatnya :

1. Pukul gula dengan buttercup sehingga kembang.

2. Masukkan bes minuman oren dan sedikit pewarna.

3. Masukkan telur sebiji demi sebiji dan diputarkan.

4. Akhir sekali, masukkan tepung naik sendiri.

5. Sapukan sedikit minyak pada loyang dan tuangkan adunan kek.

6. Bakar sehingga masak.

Isnin, 3 November 2014

Petua Menghilangkan Rasa Pahit pada Bunga Betik

bunga betik

Alangkah sedapnya jika bunga betik dimasak kerabu. Tetapi jika ianya terlalu pahit pasti mengundang rasa kurang enak. Oleh itu, ada cara untuk menghilangkan rasa pahit pada bunga betik. Caranya ialah dengan memasukkan beberapa helai daun jambu batu bersama bunga betik ketika merebus. Apabila bunga betik telah lembut, baru keluarkan daun jambu batu tersebut dan toskan airnya. Anda boleh mengambil langkah seterusnya dengan memasak menu yang digemari.

Petua Melembutkan Cucur Bawang

cucur bawang

Mungkin ada yang tertanya-tanya cara mendapatkan cucur yang lembut di dalam tetapi garing diluar tanpa memasukkan sebarang serbuk penaik. Caranya ialah masukkan sedikit demi sedikit air panas ke dalam adunan tepung yang telah dicampur sayur-sayuran seperti lobak merah, udang atau ikan bilis dan bawang yang telah dimayang halus. 

Gaul adunan hingga rata. Pastikan bancuhan ketika itu agak keras. Selepas itu campurkan sedikit tepung gandum, sedikit garam dan air putih (biasa) sedikit demi sedikit hingga adunan lembut. 

Tujuan mencampurkan sedikit tepung dan air putih adalah untuk mempercepatkan menggoreng. Cucur akan menjadi garing di luar tetapi lembut di dalam. Jika kita menggunakan air panas semata-mata, cucur yang digoreng akan menjadi lebih berminyak.

Sumber : Majalah Anis Februari 2006

Isnin, 27 Oktober 2014

Step by Step Cara Membuat Kuih Denderam

Kuih denderam

Kuih denderam atau juga dikenali sebagai kuih peniaram atau kuih telinga keling atau kuih telinga hindu, disebabkan warnanya yang gelap. Ia merupakan sejenis kuih manis tradisional yang sedap rasanya. 

Resipi Kuih Denderam

Oleh : Sajian Hati


Bahan-bahan :
700 gram gula merah
200 gram gula putih
1 kg tepung beras
2 cawan air
1 cawan tepung gandum

Cara Membuatnya :


Campurkan gula merah dan gula putih di dalam periuk. Masak gula merah dan gula putih bersama 2 cawan air sehingga gula larut dan mendidih. Pastikan ia mendidih kerana kuih ini memerlukan air gula yang panas ketika membancuhnya.


Ayak tepung gandum dan tepung beras. Kemudian, masukkan gula yang dimasak tadi ke dalam tepung dengan menapis gula tersebut terlebih dahulu menggunakan penapis. Jika masih keras dan tidak boleh dikacau, boleh tambahkan sedikit air panas.


Kacau hingga sebati sehingga membentuk doh seperti gambar di atas. Setelah itu, simpan doh selama semalaman untuk menyejukkannya.


Keesokannya, uli doh tersebut dengan menggunakan tangan. Uli hingga rata seperti di dalam gambar.


Ambil plastik besar dan sapukan minyak di permukaan plastik tersebut agar doh tidak melekat. Canaikan doh di atas plastik.


 Kemudian, tekan dengan menggunakan acuan kuih denderam.


Jika tiada acuan tersebut, boleh juga menggunakan objek bulat dan ditekan. Seterusnya, tebukkan lubang di tengahnya.


Panaskan minyak dan goreng sehingga masak. Biarkan ia sejuk dan masuk angin agar kuih menjadi lembut. Sedap juga dimakan ketika masih panas. Selamat mencuba :)