Kuih wajik merupakan sejenis kuih tradisional Melayu Malaysia yang diperbuat daripada pulut yang dimasak dengan manisan. Wajik merupakan sejenis pulut manis yang pada asasnya dimasak dengan nisan kelapa. Terdapat pelbagai cara penyediaan wajik dan pelbagai perasa yang dicampurkan kepadanya.
Diantara jenis penyediaan wajik yang paling biasa dilakukan adalah pulut yang digunakan itu dimasak sehingga lembut. Cara lain pula adalah pulut yang digunakan itu dimasak jelatah (separuh masak). Ini akan menghasilkan rasa berkerutup apabila dimakan. Bagaimanapun cara ini jarang dilakukan kerana tidak ramai yang gemarkan rasa berkerutup ini kerana menganggapnya agak keras.
Selain itu wajik juga boleh dicampurkan dengan durian sekiranya ia dihasilkan pada musim durian. Ia amat digemari ramai terutamanya mereka yang dari pantai timur. Wajik biasanya disediakan sepanjang masa, tetapi lebih meluas semasa musim perayaan. Bagaimanapun disebabkan rasanya yang agak manis, sesetengah orang tidak menggemarinya.
RESEPI
WAJIK @ PULUT KACAU GULA MERAH
Bahan-bahannya :
1 kg beras pulut
1 kg santan pekat
1 kg gula merah
500 gram gula pasir
3 cawan air
Daun pandan (disimpul)
Cara
Membuatnya :
Basuh dan rendam beras pulut semalaman.
Kemudian, toskan airnya.
Masukkan pulut di dalam periuk pengukus
dan buatkan lubang di tengahnya. Panaskan periuk pengukus dan kukus pulut
sehingga masak.
Campurkan gula merah dan gula putih di
dalam periuk beserta daun pandan. Masak campuran gula tersebut bersama air
sehingga gula larut dan ditapis.
Tutup api apabila pulut telah masak
atau lembut seperti di dalam gambar.
Di dalam kuali, campurkan santan dan
air gula yang ditapis tadi. Letakkan daun pandan yang disimpul untuk
mewangikannya.
Masak sehingga mendidih. Masukkan pulut
dan kacau sehingga airnya kering.
Tuangkan ke dalam bekas dan dibiarkan
sejuk sepenuhnya. Potong dan sedia untuk dihidang.